Pages - Menu

Ahad, 12 Januari 2014

CEMBURU

Assalamualaikum..

Apakah yang dicemburui oleh saya?  Sesungguhnya cemburu itu adalah salah satu sifat mazmumah yang tidak patut ada dalam hati manusia.  Tapi ada cemburu yang dibenarkan oleh Islam contohnya si A mencemburui si B kerana si B terlalu kuat iman dan amalannya terhadap perintah Allah SWT lalu si A menyimpan hasrat untuk mengikuti jejak si B dan berusaha untuk menambahkan amalannya supaya lebih rapat dengan Allah SWT.  Namun seandainya kita mencemburui seseorang lalu cuba merosakkan orang itu dengan perkara yang jahat sesungguhnya cemburu itu ditegah.  Apatah lagi seandainya orang dicemburuinya itu dikenakan sihir dengan bantuan syaitan.  Sesungguhnya itu adalah berdosa besar kerana menyekutukan Allah.

Berbalik kepada apa yang dicemburui saya ialah apabila saya menonton rancangan televisyen TV Alhijrah saluran 114 pada hari Sabtu lepas dan hari ini.  Rancangan tersebut adalah bertajuk 'Tonight With Dr. Zakir Naik' yang bersiaran pada jam 10.00 malam hingga 11.00 malam.  Tidak dinafikan nama Dr. Zakir tidak asing lagi dan beliau juga telah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa untuk tahun 1435H yang dianugerahkan oleh Kerajaan Malaysia.

Dari yang saya tahu, asalnya beliau adalah seorang doktor pakar bedah dan kemudiannya telah menjadikan seorang ulamak sebagai inspirasi beliau untuk berdakwah.  Dalam rancangannya hari ini, beliau telah menceritakan sedikit latar belakang beliau sebelum ini.  Beliau menyifatkan beliau adalah seorang yang luar biasa yang diizinkan Allah untuk menyampaikan dakwah dan menjadi pemidato.  Pada usia kecilnya beliau adalah seorang yang gagap.  Tapi beliau adalah seorang yang tidak mahukan kekalahan.  Beliau akan berusaha untuk mendapat tempat pertama dan terbaik dalam semua perkara.  Beliau bersama rakannya yang lain telah menubuhkan sebuah yayasan yang melatih seseorang untuk menjadi penceramah walhal beliau tidak pandai berceramah ketika itu.  Semuanya bermula apabila ketika dalam satu ceramah, penceramah pertama tidak dapat memberikan ceramahnya lalu digantikan oleh beliau.  Bermula dari situ sedikit demi sedikit beliau mula memberikan pengucapan awam kepada audien yang sedikit sehinggalah jika dilihat sekarang audien yang mendengar pengucapan awamnya menjangkau ratusan ribu orang dalam satu masa.

Dalam sesi pengucapan awam tersebut, ada sesi soalan terbuka, mereka yang inginkan jawapan boleh terus untuk bertanya dan bukan Islam adalah didahulukan.  Pada Sabtu lepas seorang lelaki yang dari kecilnya sentiasa mencari kebenaran telah menjumpai kebenaran tersebut dengan agama baharunya yakni Islam.  Ketika sesi soal jawab itu, saudara baru itu mengatakan bahawa beliau telah memeluk Islam pada petang tersebut sebelum siaran itu bermula dan meminta agar Dr. Zakir dapat memberikan Al-Quran terjemahan.  Dr. Zakir telah mempersilakan beliau naik ke pentas dan menyampaikan senaskah Al-Quran terjemahan.. Allahuakbar..  Pada hari ini seorang wanita hindu dan seorang lelaki hindu ketika sesi soal jawab telah bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah.  Keduanya telah masuk Islam dengan perantaranya ialah Dr. Zakir.  INILAH SEBABNYA YANG SAYA CAKAPKAN DARI MULA TADI BAHAWA SAYA MENCEMBURUI.

Saya terasa ingin mengalirkan air mata tatkala mereka ini memeluk Islam.  Betapa sucinya mereka ini pada ketika memeluk Islam.  Saya cemburu kerana mereka ibarat sehelai kain putih sedangkan kita yang telah mewarisi agama ini sejak dilahirkan telah penuh dengan dosa-dosa.  Seandainya ketika ini kiamat tiba, kita belum tentu lagi akan mencium syurga sebaliknya mereka yang baharu memeluk Islam ini, jika mereka benar-benar menyerahkan diri kepada Allah, nescaya mereka ini akan masuk syurga.  Walau bagaimanapun saya tetap bersyukur kerana telah dilahirkan sebagai Islam cuma kemana arahnya iman dan akhlak kita ini, kitalah yang tentukan.  Semoga Allah menerima segala amalan kita dan semoga hidup dan mati kita dikekalkan dalam Islam.  Insyaallah..

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada iman saya untuk saya terus beristiqamah dalam menuntut ilmu Allah ini sehingga keakhirnya..  Saya akan menceritakan sedikit yang mana saya ingat berkaitan cerita benar bagaimana seorang bukan Islam yang matinya dalam Islam sejurus memeluk Islam pada entri yang akan datang.  Cerita itu saya dengar dari Ustaz Zul yang setiap pagi ada siarannya 'Jalan Orang Mukmin' di TV Alhijrah.

Sekian, terima kasih.

12.15 pagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan