Assalamualaikum..
Alhamdulillah hari ini kelas mengaji telah berjalan seperti biasa. Sudah tiga minggu ianya tidak dapat diadakan dek kerana guru mengajar mengaji tersebut sibuk untuk menyiapkan dan memastikan program Karnival Ambang Tahun Baharu 2014 dilaksanakan dengan lancar.
Walaupun hari ini masih dalam keletihan namun guru tersebut sanggup juga mengadakan kelas pada hari ini kerana sudah lama terhenti. Itulah jiwa seorang ustaz jika dibandingkan dengan kita yang dangkal ini. Manusia yang tiada jiwa itulah manusia yang jiwanya kosong tanpa pengetahuan agama. Sehebat mana pun karier seseorang tapi meninggalkan serta tidak mempelajari ilmu agama tetap mereka itu tergolong dalam kumpulan mereka yang rugi.
Saya juga berada di dalam golongan yang rugi. Rugi kerana telah begitu lama tidak mengikuti serta belajar kuliah-kuliah yang disampaikan. Asasnya saya pada kecil dahulu telah diajar mengaji dan sebagainya. Apabila meningkat menengah banyak yang telah saya tinggalkan dan lupa kerana merasakan diri ini dalam proses membesar dan terikut-ikut gelagat rakan-rakan.
Mujur sebelum Allah menarik nyawa kepunyaanNya ini, Allah telah membuka pintu diri ini dan telah memberi kesempatan kepada saya untuk terus mendalami ilmu Islam ini. Saya juga telah diberi ruang dan peluang oleh Allah untuk mengikuti kelas pengajian Al-Quran. Tujuan saya adalah bagi memperbaiki tajwid serta bacaan yang telah lama ditinggalkan. Masih ada yang diingati namun tidak betul duduknya pula. Melalui kelas ini saya dapat mengembalikan dan memperbetulkan tajwid serta bacaan saya. Selain itu terdapat juga banyak input-input baharu yang telah saya pelajari.
Kelas ini bermula apabila terdapat seorang penduduk disini yang ingin belajar mengaji dari ustaz tersebut. Kemudian pada minggu keduanya, seorang lagi penduduk yang lain telah mengikuti pengajian ini. Pada minggu ketiganya ustaz tersebut telah mewar-warkan didalam kuliahnya bahawa sesiapa yang ingin mengikuti pembelajaran Al-Quran bolehlah bersekali dan saya menjadi anak muridnya yang ketiga. Sehingga kini terdapat enam orang sedang mengaji.
Sebenarnya sudah lama saya ingin belajar kembali Al-Quran tetapi tidak tahu dengan sapa untuk berguru. Saya pernah berniat di dalam hati seandainya ada disekitar kawasan ini tok guru yang boleh mengajar mengaji saya akan belajar darinya walaupun bersama-sama anak-anak muda atau kanak-kanak. Alhamdulillah Allah memakbulkan niat hati saya itu.
Seperti kata ustaz tersebut, dalam mencari ilmu ini, kita jangan malu.. biarlah apa orang hendak kata yang penting ilmu wajib dituntut. Kalau boleh biar kita mati sedang kita mencari ilmu. Jika kita berlagak sombong dan merasakan ilmu kita yang ada sekarang sudah cukup, maka kita akan berada dalam kebodohan dan buta selamanya.
Seperti sebuah kisah seorang sahabat di zaman nabi, (jika tidak salah Abu Dzar) yang begitu padat dengan ilmu agamanya dan mempunyai begitu ramai anak muridnya tatkala saat sakaratul maut, beliau telah memanggil seorang anak muridnya duduk ditepinya dan membaca kitab. Lalu dikatakan oleh anak-anak muridnya bahawa pada ketika itu apa yang penting adalah memperdengarkan bacaan-bacaan suci Allah dan bukanlah bacaan dari kitab-kitab. Kemudian sahabat tersebut mengatakan bahawa sesungguhnya kalimah Allah tidak pernah putus dari hatinya selama ini tetapi beliau akan menjadi malu jika tatkala dicabut nyawanya beliau dalam keadaan tidak mempelajari ilmu.
Inilah sebahagian contoh dimana ilmu pengetahuan amatlah penting sehingga mati pun ilmu harus dicari dan dituntut. Mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan dalam diri saya untuk saya terus beristiqamah dalam menuntut ilmu sekarang dan selamanya sehingga hayat ini.. Insyaallah..
Sekian, terima kasih.
12.21 tengah malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan