Pages - Menu

Isnin, 6 Februari 2012

PAS

Hampir 1200 orang hadirin memenuhi Dewan Tun Razak Temerloh bagi mendengar Bicara Ummah pada 6/2/2012 yang disampaikan oleh Dato' Dr. Hassan bin Hj. Ali.  Jika dibandingkan dengan ceramah-ceramah penerangan Pakatan Rakyat semenjak dua menjak ini, kehadiran di dewan ini boleh dikategorikan sebagai amat memberangsangkan.  Walaupun pimpinan dan Unit Penyelidikan Pas Pusat yang telah melakukan survey umum menyatakan bahawa Pas tidak terkesan dengan pemecatan Dr. Hassan, namun dalam beberapa Road Show penerangan oleh Dr. Hassan ini sejak kebelakangan ini menampakkan satu riak-riak yang mungkin akan menjadi tsunami dalam landskap politik negara.  Pas harus memberi perhatian terhadap perkara ini dan tidak hanya syok sendiri dengan dakwaan kononnya masih mendapat sokongan ahli akar umbi.

Pas harus sedar bahawa Pas hari ini adalah bukan seperti Pas sebelum PRU12.  Ketika Pas berada didalam Barisan Alternatif, Pas sudah mempunyai pengalaman dimana pada ketika itu DAP telah kalah teruk lalu menyalahkan kerjasama dengan Pas yang membuatkan mereka kehilangan banyak kerusi.  Maka Barisan Alternatif dibubarkan dan Pas berjuang berseorangan walaupun masih berkawan dengan DAP dan dengan kerjasama yang tidak terikat dimana setiap parti telah mencapai kata sepakat untuk membahagikan kawasan pilihanraya dengan meletakkan satu lawan satu dengan Barisan Nasional maka formula ini telah berjaya menafikan majoriti 2/3 parti pemerintah di Parlimen pada PRU12 8 Mac 2008.

Setelah itu melihatkan sokongan rakyat yang telah mula beralih arah kepada pembangkang maka Pakatan Rakyat telah ditubuhkan walaupun sehingga kini masih belum diluluskan oleh ROS.  Walaupun banyak lagi faktor-faktor lain yang menyebabkan BN tumbang namun kita masih tidak dapat menafikan sokongan rakyat yang mahu melihat perubahan kerana terlalu marah dengan sikap Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terlalu tunduk kepada menantunya selain kenaikan harga minyak yang terlampau tinggi.

Walaupun pakatan ini dari persepsi politiknya adalah berjaya dan dapat menguntungkan rakyat namun disebalik pakatan ini juga terdapat banyak perkara yang mungkin rakyat luar seperti saya ini tidak berpuas hati.  Sudah banyak ahli-ahli di dalam Pas sendiri yang mula merungut kerana Pas kini terlalu tunduk kepada arahan DAP dan PKR dalam banyak isu sensitif.  Pimpinan Pas menafikan namun keputusan sesuatu isu itu akan dapat dilihat dan dinilai oleh rakyat dan ahli Pas khususnya.

Saya juga pada asalnya telah menanamkan dalam diri saya bahawa semua tindakan Pas adalah demi menjaga hubungan dengan rakan-rakan didalam Pakatan dan demi keberlangsungan politik Pas itu sendiri namun setelah satu demi satu isu yang melibatkan agama dan kaum mula diusik dan keputusannya seolah-olah telah ditulis oleh parti lain dalam Pakatan maka saya sendiri tertanya-tanya adakah benar dakwaan parti pemerintah bahawa Pas kuda tunggangan DAP?

Contoh yang dapat saya berikan adalah dimana NGO Perkasa yang telah (sengaja atau tidak?) memberikan angpow berwarna putih kepada masyarakat Cina telah ditentang hebat oleh masyarakat Cina yang mendakwa Perkasa tidak sensitif terhadap pantang larang masyarakat Cina dimana menurut kepercayaan mereka putih membawa maksud kematian.

Contoh lagi adalah bagaimana didalam ceramah-ceramah Pakatan ada pemimpin bukan Islam yang cuba menghuraikan hal berkaitan Hudud yang bagi saya tidak sepatutnya disentuh langsung oleh mereka walaupun atas kapasiti sebagai rakan dalam Pakatan.  Yang menyedihkan adalah majoriti hadirin yang hadir berbangsa Melayu menyokong tindakan itu.  Walaupun mereka memburukkan parti pemerintah namun yang telah menolak hudud ini namun pada saya tidak kena jika yang mengucapkannya itu adalah bukan Islam.  Saya bukanlah hendak rasis namun bagi saya orang Islam telah banyak berkompromi terhadap isu agama ini.  Kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden MCA yang mencerca Hudud itu tersangatlah mengguris hati saya.  Walaupun MCA adalah komponen BN namun atas kapasiti Islam kita tidak mahu menolak salah kepada sesiapa.  UMNO yang merupakan ketua dalam BN juga harus menegur secara keras terhadap kenyataan Presiden MCA itu.

Dalam ceramah penerangan Pakatan Rakyat di Markas Pas Sg. Gau, Temerloh pada 1/2/2012 yang membariskan penceramah berkaliber iaitu Nik Nazmi, Tony Pua dan Dr. Dzulkifely secara terangan Tony Pua telah mempertikaikan bagaimana kerajaan telah mengayakan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dengan memberikan hakmilik pengedar tunggal dalam BERNAS dan beberapa projek lagi.  Memang secara prinsipnya ini tidak adil namun dia harus sedar bahawa mereka yang terkaya di malaysia dan yang telah memonopoli ekonomi dan pasaran barangan adalah kaum dia sendiri.  Beras adalah makanan ruji rakyat Malaysia yang mana bangsa Melayu adalah 65% berbanding kaum lain.  Mungkin beliau mempunyai agenda untuk membuka peluang kepada kaum beliau memonopoli industri beras.  Bagi saya apalah salahnya jika sedikit keuntungan ini diberikan pula kepada kaum bumiputera kerana bidang-bidang lain dan ekonomi kini sudah pun dimonopoli oleh kaum beliau.


Pas sebenarnya boleh berjuang berseorangan tetapi Pas telah memilih untuk berkompromi dengan parti lain untuk meneruskan agenda rakyat.  Tidak salah sebenarnya berkompromi tetapi Pas perlulah lebih tegap dengan pendirian Islamnya dan parti yang lain juga harus tahu sempadan hak bersuara dan membuat keputusan sebagai rakan dalam Pakatan.  Jika mereka tidak suka mereka diganggu rumah tangga politik mereka begitu juga Pas.  Mereka tidak boleh melihat Pas hanya sebagai parti tempelan kerana walaupun Pas mempunyai kerusi yang minoriti namun sebagai rakan yang telah sudi berkompromi demi rakyat, Pas haruslah diberi penghormatan.


Akhir kalam saya memohon kemaafan jika entri saya ini ada menyinggung sesiapa.  Entri ini hanyalah  pendapat peribadi saya sebagai seorang yang mencintai negara ini amnya..

Insyaallah..

Sekian.

10.46 malam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan