Pages - Menu

Ahad, 12 Januari 2014

CEMBURU

Assalamualaikum..

Apakah yang dicemburui oleh saya?  Sesungguhnya cemburu itu adalah salah satu sifat mazmumah yang tidak patut ada dalam hati manusia.  Tapi ada cemburu yang dibenarkan oleh Islam contohnya si A mencemburui si B kerana si B terlalu kuat iman dan amalannya terhadap perintah Allah SWT lalu si A menyimpan hasrat untuk mengikuti jejak si B dan berusaha untuk menambahkan amalannya supaya lebih rapat dengan Allah SWT.  Namun seandainya kita mencemburui seseorang lalu cuba merosakkan orang itu dengan perkara yang jahat sesungguhnya cemburu itu ditegah.  Apatah lagi seandainya orang dicemburuinya itu dikenakan sihir dengan bantuan syaitan.  Sesungguhnya itu adalah berdosa besar kerana menyekutukan Allah.

Berbalik kepada apa yang dicemburui saya ialah apabila saya menonton rancangan televisyen TV Alhijrah saluran 114 pada hari Sabtu lepas dan hari ini.  Rancangan tersebut adalah bertajuk 'Tonight With Dr. Zakir Naik' yang bersiaran pada jam 10.00 malam hingga 11.00 malam.  Tidak dinafikan nama Dr. Zakir tidak asing lagi dan beliau juga telah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa untuk tahun 1435H yang dianugerahkan oleh Kerajaan Malaysia.

Dari yang saya tahu, asalnya beliau adalah seorang doktor pakar bedah dan kemudiannya telah menjadikan seorang ulamak sebagai inspirasi beliau untuk berdakwah.  Dalam rancangannya hari ini, beliau telah menceritakan sedikit latar belakang beliau sebelum ini.  Beliau menyifatkan beliau adalah seorang yang luar biasa yang diizinkan Allah untuk menyampaikan dakwah dan menjadi pemidato.  Pada usia kecilnya beliau adalah seorang yang gagap.  Tapi beliau adalah seorang yang tidak mahukan kekalahan.  Beliau akan berusaha untuk mendapat tempat pertama dan terbaik dalam semua perkara.  Beliau bersama rakannya yang lain telah menubuhkan sebuah yayasan yang melatih seseorang untuk menjadi penceramah walhal beliau tidak pandai berceramah ketika itu.  Semuanya bermula apabila ketika dalam satu ceramah, penceramah pertama tidak dapat memberikan ceramahnya lalu digantikan oleh beliau.  Bermula dari situ sedikit demi sedikit beliau mula memberikan pengucapan awam kepada audien yang sedikit sehinggalah jika dilihat sekarang audien yang mendengar pengucapan awamnya menjangkau ratusan ribu orang dalam satu masa.

Dalam sesi pengucapan awam tersebut, ada sesi soalan terbuka, mereka yang inginkan jawapan boleh terus untuk bertanya dan bukan Islam adalah didahulukan.  Pada Sabtu lepas seorang lelaki yang dari kecilnya sentiasa mencari kebenaran telah menjumpai kebenaran tersebut dengan agama baharunya yakni Islam.  Ketika sesi soal jawab itu, saudara baru itu mengatakan bahawa beliau telah memeluk Islam pada petang tersebut sebelum siaran itu bermula dan meminta agar Dr. Zakir dapat memberikan Al-Quran terjemahan.  Dr. Zakir telah mempersilakan beliau naik ke pentas dan menyampaikan senaskah Al-Quran terjemahan.. Allahuakbar..  Pada hari ini seorang wanita hindu dan seorang lelaki hindu ketika sesi soal jawab telah bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah.  Keduanya telah masuk Islam dengan perantaranya ialah Dr. Zakir.  INILAH SEBABNYA YANG SAYA CAKAPKAN DARI MULA TADI BAHAWA SAYA MENCEMBURUI.

Saya terasa ingin mengalirkan air mata tatkala mereka ini memeluk Islam.  Betapa sucinya mereka ini pada ketika memeluk Islam.  Saya cemburu kerana mereka ibarat sehelai kain putih sedangkan kita yang telah mewarisi agama ini sejak dilahirkan telah penuh dengan dosa-dosa.  Seandainya ketika ini kiamat tiba, kita belum tentu lagi akan mencium syurga sebaliknya mereka yang baharu memeluk Islam ini, jika mereka benar-benar menyerahkan diri kepada Allah, nescaya mereka ini akan masuk syurga.  Walau bagaimanapun saya tetap bersyukur kerana telah dilahirkan sebagai Islam cuma kemana arahnya iman dan akhlak kita ini, kitalah yang tentukan.  Semoga Allah menerima segala amalan kita dan semoga hidup dan mati kita dikekalkan dalam Islam.  Insyaallah..

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada iman saya untuk saya terus beristiqamah dalam menuntut ilmu Allah ini sehingga keakhirnya..  Saya akan menceritakan sedikit yang mana saya ingat berkaitan cerita benar bagaimana seorang bukan Islam yang matinya dalam Islam sejurus memeluk Islam pada entri yang akan datang.  Cerita itu saya dengar dari Ustaz Zul yang setiap pagi ada siarannya 'Jalan Orang Mukmin' di TV Alhijrah.

Sekian, terima kasih.

12.15 pagi.

Ahad, 5 Januari 2014

ADOLF HITLER PELUK ISLAM?

Sumber ini diperolehi dari blogspot http://hijabulcrewz.blogspot.com.

[BONGKAR] Adolf Hitler Peluk Islam & Meninggal di Indonesia

Saya bawakan kajian menggemparkan ini beserta dengan gambar-gambarnya sekali bagi mengukuhkan bukti artikel ini, satu-satunya yang berbahasa Malaysia disekitar alam maya. Terbongkar juga akhirnya segala tipu daya Zionis dan Barat yang selama ini telah mencorakkan sejarah dunia dengan penipuan dan konspirasi.


Daripada sekian banyak maklumat dan teori yang ada tentang kematian Adolf Hitler, tidak ada satu pun yang dapat menyatakan secara pasti apa penyebab kematian seorang pemerintah Nazi ini. Di manakah sebenarnya akhir dari petualangan kisah Hitler itu? Benarkah Hitler bersama isterinya Eva Braun bunuh diri selepas minum racun sianida?

Lantas bagaimanakah hasil kajian pihak Amerika Syarikat ketika tengkorak Hitler dipamerkan pada tahun 2000 lalu, yang ternyata adalah tengkorak wanita? Di manakah sebenarnya Hitler selepas jatuhnya Berlin pada tangan Tentera Bersekutu?

Beberapa Versi Tentang Kematiannya

Versi yang paling popular menyatakan bahawa Hitler mati bunuh diri dengan cara menembak dirinya sendiri dan minum racun sianida pada 30 April 1945, ketika Jerman diduduki oleh Kesatuan Soviet.

Meskipun sejumlah ahli sejarah ragu-ragu Hitler menembak dirinya sendiri, dan berpendapat bahawa fakta itu hanyalah propaganda Nazi untuk menjadikan Hitler sebagai pahlawan.

Namun, lubang pada potongan tengkorak yang telah dijumpai tampak menguatkan lagi hujah tersebut ketika tengkorak itu dipamerkan di Moscow tahun 2000. Bagaimana dan bila Hitler meninggal sekarang ini masih diselimuti misteri.

Dapat dijumpai penjelasan tentang punca dan bila Hitler mati dari beberapa versi. Ada kematian versi Jerman, versi Rusia, dan versi para pengkaji sejarah atau saintis.

Versi Jerman, seperti yang diceritakan oleh Flegel, salah seorang jururawat Hitler dan pemimpin Nazi yang lain ketika di dalam bunker(kereta perisai).

Versi Russia, yang dinyatakan oleh seorang pegawai tinggi Organisasi Keselamatan Rahsia Russia, KGB, yang mengatakan, bahawa Adolf Hitler mengakhiri hidupnya bukan dengan menembak dirinya sendiri, tetapi dengan meminum racun sianida.

Seperti yang dinyatakan oleh Leftenan Jeneral Vasily Khristoforov, kakitangan arkib untuk Organisasi Keamanan FSB Rusia, "Unit Peubatan Tentera Kesatuan Soviet ketika itu telah memastikan bahawa Hitler dan Eva Braun mati selepas meminum racun sianida pada 30 April 1945."

Versi para saintis, yang terkini adalah mengikut pendapat umum dalam hal ini diwakili oleh para saintis. Sudah lama sebenarnya para saintis dan ahli sejarah menyatakan bahawa potongan tengkorak yang telah diambil dari luar bunker Hitler oleh tentera Rusia dan selama ini disimpan perisikan Soviet itu akan menjadi bukti yang meyakinkan bahawa Hitler menembak dirinya sendiri sehingga mati selepas meminum pil sianida pada 30 April 1945.


Akhirnya analisis DNA dilakukan terhadap potongan tengkorak itu oleh penyelidik dari Amerika Syarikat, dan mereka menyatakan, "Kami tahu tengkorak itu ada kaitan dengan seorang perempuan berusia antara 20 dan 40 tahun," kata ahli arkelogi Nick Bellantoni dari Universiti Connecticut, AS, yang dipetik dari Dailymail.

"Tulang itu kelihatan sangat nipis, tulang tengkorak lelaki cenderung lebih kuat. Dan persambungan di mana kepingan tengkorak itu menyambung nampak berkaitan dengan seseorang yang berusia kurang dari 40 tahun. Hitler pada April 1945 berusia 56 tahun. "

Dengan adanya hasil ujian DNA tersebut, bererti sejarah kematian Hitler menjadi sebuah misteri kembali, dan para ahli teori konspirasi terus memikirkan semula kemungkinan lain tentang kematian Hitler, seperti Hitler tidak mati di dalam bunker.

Biografi Ringkas Adolf Hitler

Mengenai masa kanak-kanak, remaja, sampailah menjadi seorang pemerintah, Hitler kecil adalah seorang kanak-kanak yang tidak diterima, ayahnya sangat membencinya dan menganggap sikapnya yang "anti-sosial" sebagai sebuah kecacatan.

Ayahnya seorang yang keras dalam mendidik anak, sedangkan ibunya, Klara sangat baik kepadanya. Masa kecil yang diliputi dengan kebencian dari ayahnya inilah yang memberikan pengajaran dalam pembentukan mental dan kejiwaan Hitler ketika dewasa.

Ketika hidupnya kucar-kacir, Perang Dunia 1 pun bermula. Tanpa ragu-ragu Hitler mendaftar menjadi tentera dengan pangkat Koperal, bertugas di medan perang di barisan paling hadapan. Kecewa dengan kekalahan Jerman di Perang Dunia 1, dan melihat negara dan rakyatnya yang sengsara dan kelaparan, Hitler mula menjadi Anggota Parti Buruh yang kemudian menjadi NSDAP (National Socialistische Deutsche Arbeiter Partei).

Surat keiizinan masuk

Pada tahun 1920, Hitler dilantik menjadi Ketua Bahagian Propaganda, ketika inilah terserlahnya bakat Hitler berpidato.

Satu tahun kemudian, 1921, Hitler menjadi ketua parti. Akhirnya pada tahun 1962, Hitler mendapatkan hak kuasa mutlak daripada partinya. Hitler dianggap sebagai seorang yang pandai berpidato, digelar "singa podium", ahli pidato yang mampu memukau para pendengarnya.

Hitler adalah ahli politik handal dan berjaya membina imej yang berjaya melalui propagandanya. Beliau berjaya membina idea serta pemikiran menjadi sebuah kekuatan dahsyat yang berjaya melalui propaganda.

Beliau berjaya membina sebuah kekuatan dahsyat yang ditakuti. Beliau juga berjaya membangunkan idea sebagai fuhrer atau pemimpin yang boleh dipercayai rakyat, membawa bangsanya ke puncak kejayaan.

Bukti-Bukti Hitler di Indonesia

Bagaimanakah Hitler boleh sampai ke Indonesia? Bagaimana dia boleh bekerja menjadi seorang doktor di Hospital Umum Sumbawa Besar? Sehingga kepada pertemuan Hitler dengan seorang wanita sunda yang akhirnya menjadi isterinya?

Juga tentang kesaksian Dr Sosro Husodo ketika bertemu dengan Hitler ketika di Sumbawa Besar. Dan semuanya telah dilengkapi dengan dokumen-dokumen lengkap serta foto-foto sedia ada.


Hitler yang terkenal, dengan kekejamannya di abad ke-20, rupa-rupanya telah bersembunyi di Indonesia sejak tahun 1954 sehingga tahun 1970, yang kemudian diketahui oleh Pakatan Bersekutu (AS, Kesatuan Soviet, Britain dan Perancis) yang seterusnya dihasut oleh Israel untuk terus memburu para tokoh Nazi.

Pada tahun 1954, Adolf Hitler memasuki Indonesia dengan menggunakan nama palsu, Dr Poch. Pada awalnya, Dr Poch tinggal di Dompu kemudiannya berpindah ke Bima, seterusnya berpindah pula ke Pulau Sumbawa Besar, kemudian bekerja sebagai doktor di Hospital Umum Daerah Sumbawa Besar. Seluruh penduduk Pulau Sumbawa mengenali doktor ini, yang dipanggil dengan gelaran "Doktor Jerman".

Salah satu peninggalan Adolf Hitler yang meninggal pada tarikh 15 Januari 1970 di Surabaya, adalah buku nota kecil berwarna coklat bersaiz 9×16 cm dengan tebal 44 cm.

Di dalam buku itu tertulis puluhan alamat sekutu-sekutunya dan rakan sekerja Hitler yang sama, seperti yang tercatat dalam sejarah Eropah. Begitu pula tulisan tangan yang ditulisnya dibuku tersebut sangat hampir dan mirip dengan tulisan tangan Hitler.

Buku ini mempunyai erti yang sangat besar, kerana ianya merupakan salah satu bukti yang boleh dipercayai yang menyatakan bahawa "Dr Poch" adalah Pemerintah Nazi, Adolf Hitler.

Surat Izin Mengemudi Dr Poch saat tinggal di Sumbawa Besar

Hitler yang bertemu dengan seorang gadis bernama Sulaesih yang sedang menggembara ke Sumbawa Besar, yang akhirnya dilamar oleh Hitler.



Tidak lama selepas Dr Poch melamar Sulaesih, beliau memeluk Islam pada tahun 1964, disaksikan oleh Ketua Jabatan Agama di Sumbawa dan menukar namanya menjadi Abdul Kohar. Pada tahun 1965, Hitler pun menikahinya.


Aries Zulkarnaen, salah seorang saksi kewujudan Dr Poch, pada tahun 2010 berkata doktor itu mempunyai dua sikap yang berlawanan antara satu sama lain, pemarah namun sering bergurau senda dengan orang lain.

"Dia pemarah, banyak memberi penerangan tentang ubatan dengan mulut [menyebutkan nama ubat], tapi kalau ada yang tanya lagi, dia beritahu, kan saya sudah jelaskan tadi," kata Aries.

Poch juga akan marah jika pesakitnya menyebut penyakit yang mereka alami. "Apa kamu doktor?," Kata Aries, meniru gertakan yang sering diucapkan Poch.

Adolf Hitler (kanan) ketika berusia 75 tahun di Sumbawa Besar

Aries menambah, Poch juga dikenali sebagai seorang yang berperikemanusian. "Tidak takut gurauan kasar dengan masyarakat," kata dia. Yang paling menonjol dari Poch, kata Aries, adalah caranya memandu kenderaan Jeepnya.

"Jalan-jalan di Sumbawa dulu belum bagus, tapi dia memandu dengan satu jari. Luar biasa, "kata Aries. "Itu tanda-tanda dia bekas tentera," tambah Aries.

Adolf Hitler saat berusia 78 tahun, dengan keadaan tubuhnya yang agak bongkok

Walaupun tidak pernah menyangka bahawa Poch adalah Hitler, Aries mengaku bahawa masyarakat setempat menjangkakan dia seorang bekas tentera Nazi.

"Dia sangat bertenaga, kelihatan sekali tenteranya. Penduduk ketika itu sudah mengira dia bekas tentera NAZI, "jelas dia.

Dalam akhbar Harian Pikiran Rakyat pada tahun 1983, terdapat sebuah artikel berkenaan dengan Hitler. Penulisnya bernama Dr Sosrohusodo, Profesor Lulusan Universiti Indonesia yang pernah bertugas di kapal yang dijadikan hospital bernama 'Hope' di Sumbawa Besar.

Dr Sosrohusodo menceritakan pengalamannya bertemu dengan seorang doktor tua berasal daripada Jerman bernama Poch di Pulau Sumbawa Besar pada tahun 1960. Poch adalah pegawai sebuah rumah sakit terbesar di pulau tersebut. Orang itu dinyatakan sebagai Hitler.

Bukti-bukti yang diterangkan Dr Sosrohusodo, adalah bahawa doktor tersebut tidak mampu untuk berjalan dengan normal. Dia selalu mengheret kaki kirinya ketika berjalan.

Foto ketika Dr Poch menikah dengan Sulaesih

Kemudian tangannya, kata Dr Sosrohusodo, tangan kiri doktor Jerman itu sentiasa bergetar. Dia juga mempunyai misai menegak mirip Charlie Chaplin, dan kepalanya tidak berambut.

Keadaan ini seperti dengan gambaran Hilter ketika ianya tua, yang ditemui di sebuah buku biografi Fuhrer. Ketika bertemu dengannya di tahun 1960, orang yang dikata sebagai Hitler itu berusia 71 tahun.

Menurut Dr Sosrohusodo, doktor yang berasal dari Jerman yang dia temui  itu sangat misteri. Dia tidak mempunyai lesen untuk menjadi doktor, bahkan dia sama sekali tidak mempunyai kepakaran tentang kesihatan.

Surat Perkawinan Lain Dr Poch dan Sulaesih

Dr Sosrohusodo mengakui pernah memeriksa tangan kiri Poch yang selalu bergetar. Ketika beliau bertanya bilakah gejala ini mula terjadi, Poch lalu bertanya pada isterinya yang lalu menjawab, "Ini terjadi ketika Jerman kalah di pertempuran dekat Moscow. Ketika itu Goebbels menyatakan kepadanya dengan memukul meja berkali-kali. "

Goebbels yang disebut isteri Poch berkemungkinan ialah Joseph Goebbe, menteri propaganda Jerman yang dikenali setia dengan Hilter.

Kata Dr Sosrohusodo,  isteri Poch, iaitu Eva Braun, beberapa kali memanggil suaminya 'Dolf', yang dikatakan nama panggilan pendeknya daripada Adolf Hitler.

Hitler Mati di Indonesia

Pengakuan Hitler kepada isterinya yang berasal dari Indonesia, Sulaesih, bahawa dia adalah memang Hitler yang sebenarnya, Der Fuhrer. Apa sahaja kegiatan Hitler sebelum dia meninggal?.

Terdapat kenyataan daripada Stanlin, bahawa yang terbunuh di dalam bunker di Jerman bukanlah Hitler asli. Dan di bahagian akhir buku ini menceritakan bagaimana akhirnya seorang pemerintah Nazi meninggal di Indonesia.

Selama ini kematian Hitler memang sangat misteri, kerana tidak ada saksi yang dapat menunjukkan di mana mayat Hitler ataupun mayat Eva Braun, isteri terakhirnya ketika dia berada di Eropah.

Dalam pertemuan rundingan Postdam 1945, Stanlin menyatakan bahawa mayat Hitler dan Eva Braun tidak dijumpai. Stanlin menyatakan kemungkinan, bekas pemerintah Nazi ini telah melepaskan diri dan lari ke Sepanyol atau Amerika Latin.

Dan tidak berapa lama kemudian, ada sebuah khabar yang menyatakan Hitler melarikan diri menggunakan kapal selam ke sebuah pulau. Tapi tidak ada yang tahu pulau apa dan di mana.

Dunia antarabangsa sama sekali tidak menyedarinya. Bahawa seorang pemimpin Nazi yang terkenal sangat kejam itu bersembunyi dengan aman di Sumbawa Besar, sehingga ia meninggal di Surabaya dan dikebumikan di perkubuan awam muslim di Ngagel.

Penutup

Kematian Pemerintah Jerman, Adolf Hitler yang diyakini tewas dalam pertempuran dengan membunuh diri dalam sebuah bunker, pada tanggal 30 April 1945 di Berlin, tetap masih dipersoalkan dan menjadi misteri.


"Siapa yang menyaksikan peristiwa di bunker saat Hitler bunuh diri? Tidak ada, sumber cerita tersebut hanya dari mulut ke mulut. Dan pada saat itu, walaupun tidak ada saksi dan bukti yang jelas, pihak sekutu tetap mengumumkan secara rasmi bahwa Hitler dan istri, Eva Braun telah meninggal.
Bukan tidak mungkin Hitler mati di Indonesia. Kerana Indonesia dianggap tempat yang aman, bagi Hitler. Silakan siapa pun untuk menemukan jawaban yang sesungguhnya. (Ir KGPH Soeryo Goeritno, Msc.,Penulis Buku)

Khamis, 2 Januari 2014

MENGAJI

Assalamualaikum..

Alhamdulillah hari ini kelas mengaji telah berjalan seperti biasa.  Sudah tiga minggu ianya tidak dapat diadakan dek kerana guru mengajar mengaji tersebut sibuk untuk menyiapkan dan memastikan program Karnival Ambang Tahun Baharu 2014 dilaksanakan dengan lancar.

Walaupun hari ini masih dalam keletihan namun guru tersebut sanggup juga mengadakan kelas pada hari ini kerana sudah lama terhenti.  Itulah jiwa seorang ustaz jika dibandingkan dengan kita yang dangkal ini.  Manusia yang tiada jiwa itulah manusia yang jiwanya kosong tanpa pengetahuan agama.  Sehebat mana pun karier seseorang tapi meninggalkan serta tidak mempelajari ilmu agama tetap mereka itu tergolong dalam kumpulan mereka yang rugi.

Saya juga berada di dalam golongan yang rugi.  Rugi kerana telah begitu lama  tidak mengikuti serta belajar kuliah-kuliah yang disampaikan.  Asasnya saya pada kecil dahulu telah diajar mengaji dan sebagainya.  Apabila meningkat menengah banyak yang telah saya tinggalkan dan lupa kerana merasakan diri ini dalam proses membesar dan terikut-ikut gelagat rakan-rakan.

Mujur sebelum Allah menarik nyawa kepunyaanNya ini, Allah telah membuka pintu diri ini dan telah memberi kesempatan kepada saya untuk terus mendalami ilmu Islam ini.  Saya juga telah diberi ruang dan peluang oleh Allah untuk mengikuti kelas pengajian Al-Quran.  Tujuan saya adalah bagi memperbaiki tajwid serta bacaan yang telah lama ditinggalkan.  Masih ada yang diingati namun tidak betul duduknya pula.  Melalui kelas ini saya dapat mengembalikan dan memperbetulkan tajwid serta bacaan saya.  Selain itu terdapat juga banyak input-input baharu yang telah saya pelajari. 

Kelas ini bermula apabila terdapat seorang penduduk disini yang ingin belajar mengaji dari ustaz tersebut.  Kemudian pada minggu keduanya, seorang lagi penduduk yang lain telah mengikuti pengajian ini.  Pada minggu ketiganya ustaz tersebut telah mewar-warkan didalam kuliahnya bahawa sesiapa yang ingin mengikuti pembelajaran Al-Quran bolehlah bersekali dan saya menjadi anak muridnya yang ketiga.  Sehingga kini terdapat enam orang sedang mengaji.

Sebenarnya sudah lama saya ingin belajar kembali Al-Quran tetapi tidak tahu dengan sapa untuk berguru.  Saya pernah berniat di dalam hati seandainya ada disekitar kawasan ini tok guru yang boleh mengajar mengaji saya akan belajar darinya walaupun bersama-sama anak-anak muda atau kanak-kanak.  Alhamdulillah Allah memakbulkan niat hati saya itu.

Seperti kata ustaz tersebut, dalam mencari ilmu ini, kita jangan malu.. biarlah apa orang hendak kata yang penting ilmu wajib dituntut.  Kalau boleh biar kita mati sedang kita mencari ilmu.  Jika kita berlagak sombong dan merasakan ilmu kita yang ada sekarang sudah cukup, maka kita akan berada dalam kebodohan dan buta selamanya.

Seperti sebuah kisah seorang sahabat di zaman nabi, (jika tidak salah Abu Dzar) yang begitu padat dengan ilmu agamanya dan mempunyai begitu ramai anak muridnya tatkala saat sakaratul maut, beliau telah memanggil seorang anak muridnya duduk ditepinya dan membaca kitab.  Lalu dikatakan oleh anak-anak muridnya bahawa pada ketika itu apa yang penting adalah memperdengarkan bacaan-bacaan suci Allah dan bukanlah bacaan dari kitab-kitab.  Kemudian sahabat tersebut mengatakan bahawa sesungguhnya kalimah Allah tidak pernah putus dari hatinya selama ini tetapi beliau akan menjadi malu jika tatkala dicabut nyawanya beliau dalam keadaan tidak mempelajari ilmu.

Inilah sebahagian contoh dimana ilmu pengetahuan amatlah penting sehingga mati pun ilmu harus dicari dan dituntut.  Mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan dalam diri saya untuk saya terus beristiqamah dalam menuntut ilmu sekarang dan selamanya sehingga hayat ini.. Insyaallah..

Sekian, terima kasih.

12.21 tengah malam.

Rabu, 1 Januari 2014

KARNIVAL AMBANG TAHUN BAHARU 2014

Assalamualaikum..

Karnival Ambang Tahun Baharu 2014 telah pun selesai dilaksanakan di Tapak Pasar Malam Taman Sri Kerinau, Paya Pulai.  Aktiviti yang berlangsung selama dua hari ini telah diisi dengan pelbagai program kemasyarakatan serta kerohanian.  Syabas diucapkan kepada Maahad Tahfiz Al Furqan serta masjid-masjid disekitar kawasan ini kerana telah berjaya menemui sasarannya.  Selain daripada mengajak masyarakat setempat untuk bersama-sama menghayati ataupun menyambut Tahun Baharu mengikut landasan Islam, sumbangan yang diberikan juga akan disalurkan kepada Tabung Pembangunan Maahad Tahfiz Al Furqan yang tahun ini telah pun mencecah seramai 60 orang.  Dengan penambahan pelajar setiap tahun maka pihak maahad telah mempunyai tanah yang diwakafkan, namun kekurangan dana bagi membangunkan bangunan tersebut.  Dengan usaha Mudir maahad tersebut yang tidak jemu-jemu mengadakan aktiviti bagi menambahkan sumbangan saya berharap satu hari nanti akan tersergam maahad ini di atas bukit itu.

Antara aktiviti yang diadakan adalah:

- Forum perdana bertajuk Satu Rumah Satu Hafiz
- Kayuhan Amal
- Bertahnik
- Memotong rambut
- Forum perdana bertajuk Hiburan Mengikut Landasan Islam yang dimoderatorkan oleh Imam Muda Nuri.
- Persembahan artis dari kumpulan Inteam
- Pelbagai aktiviti jualan

 Saya amat meminati kumpulan nasyid Inteam ini bermula diperingkat menengah lagi ketika lagu berjudul Nur Kasih sedang meletop.  Disebabkan lagu tersebut juga telah menarik minat saya terhadap kumpulan ini sehingga sekarang.  Pada hari ini saya tidak sangka dapat melihat persembahan kumpulan ini secara langsung.  Walaupun gila saya kepada kumpulan ini tapi saya masih dapat mengawal perasaan saya ketika melihat ramai odien yang bergambar serta bersalam dengan kumpulan ini.  Saya tidak kisah untuk tidak membuat semua perkara tersebut kerana pada fikiran saya ketika itu ialah kumpulan ini hanyalah artis yang mungkin satu hari nanti akan pudar sinarnya.  Tetapi seandainya yang saya temui seorang ulamak, nescaya saya akan cuba juga untuk bertemu atau bersalam dengan ulamak.  Kerana keberkatan dari seorang ulamak itu boleh membawa kita ke syurga.  Ketika ini apa yang saya ingin saya bersalam ialah dengan Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz bin Hj. Nik Mat.  Sehingga ketika ini saya mash tidak dapat bersalam dengan beliau.  Insyaallah kalau diizinkan Allah satu hari nanti masa itu akan tiba.

Apapun tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada penganjur Karnival Ambang Tahun Baharu 2014.  Semoga program seperti ini akan dilaksanakan lagi pada masa-masa akan datang.  Sedikit sebanyak mungkin program ini telah menitipkan atau menyuburkan rasa sukakan hiburan berlandaskan Islam..  Insyaallah..

Sekian, terima kasih.

2.12 pagi.