Tahniah barisan exco Selangor yang baharu dilantik.
Jumaat, 26 September 2014 maka terlerailah sudah tanda tanya berkaitan barisan exco kerajaan negeri Selangor yang baharu apabila selesainya majlis angkat sumpah dihadapan Sultan Selangor sekaligus memberikan jawapan kepada semua persoalan.
Secara peribadinya saya kurang senang dengan pelantikan exco yang baharu dimana komposisi kerusi Pas telah pun dikurangkan dari 4 kepada 3. Umum sedia maklum bahawa kuasa melantik exco adalah hak seorang menteri besar yang mana exco yang dipilih adalah yang bleh membantu menteri besar pada pandangan menteri besar itu sendiri.
Soal hak memilih ini saya tidak membantah, cuma saya agak terkilan bilamana kerusi yang sewajarnya dikekalkan sebanyak 4 untuk Pas telah dikurangkan. Kebiasaannya, jawatan-jawatan pentadbiran tidak kiralah menteri atau exco samada BN mahupun PR agihan kerusi adalah mengikut banyaknya kerusi yang dimenangi sebuah parti itu.
Didalam pemerintahan Barisan Nasional itu sendiri kita melihat UMNO diperuntukan lebihan kerusi menteri manakala parti komponen yang lain diberikan mengikut besar mana menangnya. Semangat yang serupa juga sebenarnya telah terpakai di dalam pemerintahan Pakatan Rakyat sejak dari tertubuhnya pakatan ini. Tetapi tidak tahulah dimana silapnya kali ini satu kejanggalan telah ditunjukkan oleh pemerintahan Selangor yang baharu.
Mari kita lihat komposisi kemenangan kerusi yang dimenangi Pakatan Rakyat diselangor:
PAS - 15
DAP - 15
PKR - 13
Walaupun kerusi Pas dan DAP adalah sama namun mengikut undang-undang tubuh negeri Selangor, seorang Menteri Besar hendaklah seorang Melayu dan beragama Islam. Ini bermakna Pas mempunyai kelebihan kerana di Selangor, wakil rakyat DAP tidak ada yang memenuhi syarat ini.
Sepatutnya kerusi Menteri Besar Selangor ini telah lama diperintah oleh Menteri Besar dari Pas. Namun kerana semangat di antara pakatan itu, Pas sebagai parti yang berhak telah mensepakati kerusi tersebut diberikan kepada PKR yang kerusinya lebih kecil dari PAS dan DAP. Ini mungkin bersandarkan kepada Pas yang telah mempunyai sebuah negeri di Kelantan untuk diperintah, DAP juga mempunyai negeri Pulau Pinang untuk diperintah sebaliknya PKR tidak ada negeri. Pas dan DAP telah berkorban di Selangor.
Ketika krisis sedang berlangsung juga, Pas telah mengambil pendirian agar mengekalkan 4 adun Pas sebagai exco bagi mengelakkan terbubarnya pentadbiran Selangor walaupun sekutu yang lain mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak sepatutnya dan tidak mencerminkan semangat pakatan. Pas terpaksa memekakkan telinga demi rakyat. PKR perlu ingat kerusi ini bukanlah hak mereka sebenarnya. Seharusnya bagi mengenang jasa pengorbanan Pas yang telah banyak berkorban, setidak-tidaknya kerusi exco dikekalkan sebanyak 4 sesuai dengan majoriti kerusi yang diraih Pas.
Tetapi saya tidak faham kenapa sebuah parti yang menang dengan kerusi yang sedikit, boleh mendominasi pentadbiran Selangor. Saya pasti sememnagnya ramai ahli parti Pas yang tidak senang dengan perkembangan terbaharu ini tetapi terpaksa menelannya demi menjaga ukhwah dalam pakatan itu. Seandainya perkara ini terjadi kepada BN, pastinya PR akan memperleceh mereka dengan sehebatnya.
Sebagai penutupnya walau apa pun yang tidak kena, keputusan telah dibuat, maka saya berharap dengan kepimpinan yang telah dilantik juga dibarisi muka-muka muda ini dapat menguatkan kembali pakatan serta membawa Selangor kearah yang lebih teguh dan maju. Diharapkan ada perubahan seperti yang didakwa PKR setelah berjaya menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim. Apa yang saya cuba sampaikan ini hanyalah sekadar suratan yang berlaku secara zahir sahaja. Apa yang tersirat saya tidak tahu. Wallahua'alam..