Assalamualaikum..
Barisan kepimpinan baharu Cuepacs bertekad untuk memperjuangkan gaji minimum bagi penjawat awam sehingga RM 4000.00 dalam masa tiga tahun ini bagi penjawat awam semua peringkat terutama kumpulan pelaksana II bagi menghadapi kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat dewasa ini. Presiden baharunya En. Azih bin Muda akan cuba mengadakan pertemuan bersama Datuk Seri Najib bin Razak serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
Pada pandangan saya usaha ini amat disokong oleh saya kerana melihat kepada keadaan sekarang sememangnya kadar sara hidup rakyat semakin meningkat bukan sahaja pada penjawat awam waima semua rakyat terbeban dengan rangkaian pengumuman kenaikan barangan. Bermula dengan kenaikan minyak sebanyak RM 0.20 seterusnya gula dan pelbagai lagi kenaikan yang sebelum PRU13, dijanjikan tidak akan naik.. Namun begitu inilah dunia politik. Sebab itulah ramai yang menggambarkan bahawa janji dan kata-kata dari ahli politiklah yang paling tidak boleh dipegang atau tidak boleh dipakai.
Namun dari sudut nakal saya pula merasakan bahawa tidak perlulah diperjuangkan gaji minimum sehingga RM 4000.00 itu kerana bagi saya, saya melihat prestasi kakitangan awam tetap sama sahaja samada sebelum diberikan habuan waima selepas diberikan habuan. Jika tidak diberikan insentif maka mereka akan melalak memarahi kerajaan dan melabelkan kerajaan tidak menghargai usaha mereka sebagai penyampai dasar kerajaan kepada rakyat marhain. Mereka akan melalak seolah-olah mereka ini sememangnya membuat kerja bersungguh-sungguh tanpa ada kelompangan masa untuk membuat aktiviti lain selain dari kerja terutamanya kumpulan pelaksana.
Tapi itulah sifat manusia yang bergelar penjawat awam di Malaysia, mereka akan mengeluarkan segala macam justifikasi kononnya mereka membuat banyak kerja dan terbeban dengan tugas yang tidak pernah habis. Seolah-olah apabila mereka ke pejabat sahaja, mereka tidak dapat membuat perkara lain selain kerja hakiki mereka.. Kelakar kadang-kadang saya melihat gelagat mereka ini. Apa yang dikelakarkan? Sudah tentu yang kelakarnya ialah hakikat yang sebenarnya mereka ini hanya bermuka-muka sahaja kononnya mendakwa terbeban dengan tugas yang berat padahal boleh saya katakan bahawa seseorang penjawat awam itu pasti pernah atau selalu mengeksploitasi masa bekerja dengan membuat kerja-kerja selain kerja hakiki.. Sudah tentunya ranking pertama ialah berFacebook. Salah satu lagi adalah menonton movie dalam youtube.
Pernah saya melihat komen -komen di blog lain yang kebanyakannya mengecam kumpulan pelaksana kerana golongan inilah yang paling banyak terlibat dalam kegiatan kurang sihat seperti yang saya nyatakan di atas. Kemudian apabila pihak atasan meminta tolong untuk fotostat contohnya, mula lah kononnya buat-buat sibuk dan memarahi pihak atasan tersebut kerana mengganggu mereka ketika kerja banyak.. Padahal memang betul kerjanya banyak tetapi mereka tidak menguruskan masa dengan betul. Bilamana ada sedikit masa lapang maka akan membuat perkara-perkara diluar tugas hakiki. Kemudian kerja yang dilonggokkan itu bertambah-tambah banyak jadinya memanglah kerja mereka kononnya tidak pernah habis.. Semua itu hanyalah wayang semata-mata.
Namun saya tidaklah menafikan kewujudan Facebook itu atau apa-apa sahaja yang lain. Memang kita memerlukan sedikit masa untuk merehatkan minda kita tatkala kerja yang bertimbun-timbun. Saya juga tidaklah mengatakan langsung tidak boleh berfacebook ketika kerja sedangkan PM kita juga aktif menggunakan media sosial beliau. Cuma yang ingin saya kritik disini ialah pengurusan masa itu yang tidak betul. Sekiranya masa diurus dengan betul pastinya kerja menjadi lancar. Sekiranya kerja kita selesai maka bolehlah kita berehat sebentar untuk mengambil angin. Yang saya tidak suka adalah mereka yang berwayang kononnya kerja banyak sedangkan separuh hari masanya adalah berfacebook dan menonton youtube. Kemudian marah-marah pihak atasan kerana didakwanya mengganggu. Saya kadang-kadang hairan kerana bagaimana lah mereka ini setiap pagi akan membuka facebook untuk membeli barang-barang online seolah-olah tidak pernah habis.
Saya merasakan kakitangan awam di Malaysia ini terlampau selesa kerana tiadanya cabaran dari kaum-kaum lain dalam sektor awam ini. Seandainya sektor awam ini kuotanya luaskan jumlahnya untuk semua maka saya pasti penjawat awam sekarang ini tidak senang duduk. Ingin saya katakan seandainya di sektor swasta terutamanya kilang Cina, mereka-mereka yang berperangai begini pastinya tidak akan mempunyai masa langsung untuk berbuat demikian. Silap-silap akan dibuang kerana mengabaikan tugas dan tidak produktif. Sebab itu apabila pernah kerajaan ingin membuka luas untuk jawatan tertinggi terbuka kepada semua, sesiapa sahaja boleh mengisi secara kontrak, maka ditentang hebat.
Tulisan saya ini tidaklah disasarkan secara menyeluruh kepada semua penjawat awam kerana memang terdapat penjawat awam yang jiwanya memang untuk kerja sahaja sehingga terpaksa membawa tugas pejabatnya ke rumah. Cuma yang saya mengecam disini adalah kepada segelintir sahaja termasuklah diri saya sendiri agar pada masa akan datang dapat kita semua perbaiki kelemahan kita ini, barulah kita akan rasa berbaloi sekiranya perjuangan kita untuk mendapatkan minimum RM 4000.00 berjaya. Jangan hanya kerajaan sahaja yang memberi sedangkan kita tiada perubahan dalaman diri untuk berdaya saing.
Sekian, terima kasih.
2.06 pagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan