Sumber dari Mingguan Malaysia 5/2/2012
TIDAK ada negara yang begitu menghargai ahli sukan seperti negara kita.
Negara lain yang sukan mereka jauh lebih hebat pun tak seperti negara kita yang
limpahkan itu dan ini kepada ahli sukan.
Kononnya ahli sukan telah “mengharumkan” nama negara. Kononnya ahli sukan
kita telah “mencatat” nama negara di peta dunia.
Alasan ini diberikan oleh orang yang malas. Mereka malas berfikir dan malas
terima kenyataan. Di negara kita, penjaga gol Khairul Fahmi dapat sebuah banglo.
Di negara kita, ahli sukan dapat ganjaran berganda, menang di pertandingan lagi,
kerajaan bagi lagi.
Negara lain bangunkan prasarana sukan sebagai cara menghargai sukan. Tapi
kita longgokkan duit kepada ahli sukan. Kita terkepung dalam ruang fikir sempit
kononnya inilah cermin kejayaan bangsa dan negara. Ini mengarut namanya.
Eh, betulkah ahli sukan “mengharumkan” nama negara? Mana ada, semua itu
temberang saja. Cuba bagi satu contoh ahli sukan di dunia yang “mengharumkan”
nama negaranya? Kita yang syok sendiri saja yang kata begitu.
Boleh tak Siti tanya sikit. Betulkah bintang bola sepak dunia Pele, Maradona,
Ronaldo dan banyak lagilah dalam sukan lain pun yang “mengharumkan” nama negara
mereka? Sebenarnya yang mengharumkan nama negara dan menyebarluas pemikiran
bangsa adalah karyawan. Tidak kiralah sasterawan, pelukis atau dramawan.
Pemikiran karyawan mewakili bangsa dan negaranya. Penyair Victor Hugo dan
pelukis Van Gogh misalnya turut mengangkat nama Perancis walaupun Van Gogh bukan
dilahirkan di Perancis.
Agak-agaknya apakah yang disumbangkan Maradona kepada bangsa dan negaranya
seperti Van Gogh kepada Perancis? Mereka minat sukan, mereka gila sukan. Tapi
mereka terima kenyataan bahawa yang menyumbang kepada bangsa dan negara adalah
karyawan. Sebabnya karyawan itu adalah cermin kepada tamadun bangsa.
Tapi bagi kita lain pula, pemain badminton atau bola sepak mengambil tempat
karyawan. Ahli sukan dapat penghargaan berjuta ringgit. Tak kisahlah kalau
pemurah sangat. Tapi ini menunjukkan kita tak tahu menilai. Sasterawan kita yang
karya mereka ke seluruh dunia tidak mendapat ganjaran sama. Bukan tidak boleh
menghargai ahli sukan, tapi berpada-padalah dan adil kepada yang lain. Banyak
sasterawan kita yang pemikiran mereka menjelajah seluruh dunia dianggap lebih
rendah daripada penjaga gol atau pemain badminton.
Kita berbangga tak kena tempat. Kita tak tahu bahawa sukan adalah produk
konsumerisme. Sukan tempat kapitalis kaut kekayaan. Sukan tidak ada kena mengena
dengan tamadun bangsa. Sukan itu duit. Dulu Maradona atau Tiger Wood dijulang,
esok atau lusa mereka dilupakan. Mereka tak tinggal apa-apa pun kecuali kekayaan
peribadi.
Tapi karyawan seperti Shakespeare, Albert Camus, Van Gogh misalnya sentiasa
hidup dalam bangsa yang tahu menilainya. Di negara kita, banyak sasterawan telah
menjelajah benua asing. Usman Awang, A. Samad Said, Arenawati, Anwar Ridhuan
sudah lama mengharumkan nama bangsa dan negara. Pelukis kita Latiff Mohidin,
Ibrahim Hussein, Raja Azhar Idris sudah lama mengharumkan nama negara apabila
mengemukakan karya tentang negara dan bangsanya. Siapa peduli?
Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan dana
RM5 juta untuk Persatuan Penulis Nasional (PENA) menerbit buku. RM1 juta lagi
untuk membaiki Rumah PENA yang uzur. Tapi Siti fikir ada pihak yang tidak dapat
baca mesej Perdana Menteri supaya hargai sasterawan. Balik-balik mereka hanya
lihat ahli sukan. Terimalah kenyataan, rakyat Argentina pun tidak pernah bangga
dengan Maradona. Sebabnya Maradona tidak menyumbang apa-apa kepada Argentina
seperti sumbangan Shakespeare kepada England. Mesti banyak yang tak setuju tapi
Siti peduli apa.
SITI JARUM: Dah fed up.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan