Pages - Menu

Sabtu, 28 Disember 2013

PERJUANGAN GAJI MINIMUM RM4000.00

Assalamualaikum..

Barisan kepimpinan baharu Cuepacs bertekad untuk memperjuangkan gaji minimum bagi penjawat awam sehingga RM 4000.00 dalam masa tiga tahun ini bagi penjawat awam semua peringkat terutama kumpulan pelaksana II bagi menghadapi kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat dewasa ini.  Presiden baharunya En. Azih bin Muda akan cuba mengadakan pertemuan bersama Datuk Seri Najib bin Razak serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Pada pandangan saya usaha ini amat disokong oleh saya kerana melihat kepada keadaan sekarang sememangnya kadar sara hidup rakyat semakin meningkat bukan sahaja pada penjawat awam waima semua rakyat terbeban dengan rangkaian pengumuman kenaikan barangan.  Bermula dengan kenaikan minyak sebanyak RM 0.20 seterusnya gula dan pelbagai lagi kenaikan yang sebelum PRU13, dijanjikan tidak akan naik..  Namun begitu inilah dunia politik.  Sebab itulah ramai yang menggambarkan bahawa janji dan kata-kata dari ahli politiklah yang paling tidak boleh dipegang atau tidak boleh dipakai. 

Namun dari sudut nakal saya pula merasakan bahawa tidak perlulah diperjuangkan gaji minimum sehingga RM 4000.00 itu kerana bagi saya, saya melihat prestasi kakitangan awam tetap sama sahaja samada sebelum diberikan habuan waima selepas diberikan habuan.  Jika tidak diberikan insentif maka mereka akan melalak memarahi kerajaan dan melabelkan kerajaan tidak menghargai usaha mereka sebagai penyampai dasar kerajaan kepada rakyat marhain.  Mereka akan melalak seolah-olah mereka ini sememangnya membuat kerja bersungguh-sungguh tanpa ada kelompangan masa untuk membuat aktiviti lain selain dari kerja terutamanya kumpulan pelaksana.

Tapi itulah sifat manusia yang bergelar penjawat awam di Malaysia, mereka akan mengeluarkan segala macam justifikasi kononnya mereka membuat banyak kerja dan terbeban dengan tugas yang tidak pernah habis.  Seolah-olah apabila mereka ke pejabat sahaja, mereka tidak dapat membuat perkara lain selain kerja hakiki mereka..  Kelakar kadang-kadang saya melihat gelagat mereka ini.  Apa yang dikelakarkan?  Sudah tentu yang kelakarnya ialah hakikat yang sebenarnya mereka ini hanya bermuka-muka sahaja kononnya mendakwa terbeban dengan tugas yang berat padahal boleh saya katakan bahawa seseorang penjawat awam itu pasti pernah atau selalu mengeksploitasi masa bekerja dengan membuat kerja-kerja selain kerja hakiki..  Sudah tentunya ranking pertama ialah berFacebook.  Salah satu lagi adalah menonton movie dalam youtube.

Pernah saya melihat komen -komen di blog lain yang kebanyakannya mengecam kumpulan pelaksana kerana golongan inilah yang paling banyak terlibat dalam kegiatan kurang sihat seperti yang saya nyatakan di atas.  Kemudian apabila pihak atasan meminta tolong untuk fotostat contohnya, mula lah kononnya buat-buat sibuk dan memarahi pihak atasan tersebut kerana mengganggu mereka ketika kerja banyak..  Padahal memang betul kerjanya banyak tetapi mereka tidak menguruskan masa dengan betul.  Bilamana ada sedikit masa lapang maka akan membuat perkara-perkara diluar tugas hakiki.  Kemudian kerja yang dilonggokkan itu bertambah-tambah banyak jadinya memanglah kerja mereka kononnya tidak pernah habis..  Semua itu hanyalah wayang semata-mata.

Namun saya tidaklah menafikan kewujudan Facebook itu atau apa-apa sahaja yang lain.  Memang kita memerlukan sedikit masa untuk merehatkan minda kita tatkala kerja yang bertimbun-timbun.  Saya juga tidaklah mengatakan langsung tidak boleh berfacebook ketika kerja sedangkan PM kita juga aktif menggunakan media sosial beliau.  Cuma yang ingin saya kritik disini ialah pengurusan masa itu yang tidak betul.  Sekiranya masa diurus dengan betul pastinya kerja menjadi lancar.  Sekiranya kerja kita selesai maka bolehlah kita berehat sebentar untuk mengambil angin.  Yang saya tidak suka adalah mereka yang berwayang kononnya kerja banyak sedangkan separuh hari masanya adalah berfacebook dan menonton youtube.  Kemudian marah-marah pihak atasan kerana didakwanya mengganggu.  Saya kadang-kadang hairan kerana bagaimana lah mereka ini setiap pagi akan membuka facebook untuk membeli barang-barang online seolah-olah tidak pernah habis.

Saya merasakan kakitangan awam di Malaysia ini terlampau selesa kerana tiadanya cabaran dari kaum-kaum lain dalam sektor awam ini.  Seandainya sektor awam ini kuotanya luaskan jumlahnya untuk semua maka saya pasti penjawat awam sekarang ini tidak senang duduk.  Ingin saya katakan seandainya di sektor swasta terutamanya kilang Cina, mereka-mereka yang berperangai begini pastinya tidak akan mempunyai masa langsung untuk berbuat demikian.  Silap-silap akan dibuang kerana mengabaikan tugas dan tidak produktif.  Sebab itu apabila pernah kerajaan ingin membuka luas untuk jawatan tertinggi terbuka kepada semua, sesiapa sahaja boleh mengisi secara kontrak, maka ditentang hebat.

Tulisan saya ini tidaklah disasarkan secara menyeluruh kepada semua penjawat awam kerana memang terdapat penjawat awam yang jiwanya memang untuk kerja sahaja sehingga terpaksa membawa tugas pejabatnya ke rumah.  Cuma yang saya mengecam disini adalah kepada segelintir sahaja termasuklah diri saya sendiri agar pada masa akan datang dapat kita semua perbaiki kelemahan kita ini, barulah kita akan rasa berbaloi sekiranya perjuangan kita untuk mendapatkan minimum RM 4000.00 berjaya.  Jangan hanya kerajaan sahaja yang memberi sedangkan kita tiada perubahan dalaman diri untuk berdaya saing.

Sekian, terima kasih.

2.06 pagi.

Selasa, 24 Disember 2013

CUTI BUKAN HAK

Assalamualaikum..

Sudah lama rasanya saya tidak menulis.. Sesuai dengan nama blog ini Penulis Sambilan maka kerja menulis ini semestinya hanya sekadar sambilan sahaja..

Entri pada kali ini ingin saya utarakan perkara berkaitan cuti.  Sebagai penjawat awam cuti adalah perkara asas yang perlu setiap individu mengambil tahu kerana ini melibatkan perkhidmatan seseorang pegawai tersebut.  Walaupun hanya segelintir sahaja yang hendak mengambil tahu sekurang-kurangnya individu yang ingin mengambil tahu itu tahu akan kepentingannya.

Kembali menyeret kenangan lama ketika memulakan perkhidmatan dalam sektor awam ini pada tahun 2008, saya juga pada ketika itu tidak faham apa-apa pun berkaitan peraturan.  Walaupun telah ditaklimatkan namun itu tidak memadai untuk saya tangkap semua yang diajar.  Saya tidak sangka pekerja sektor awam ini mempunyai begitu banyak peraturan.  Lihat sahaja pada pekeliling-pekeliling yang ada begitu tebal seperti sebuah kitab.  Walaubagaimanapun setelah berada lama di dalam kerajaan baharu saya tahu dan faham serta setuju berkaitan pekeliling-pekeliling yang tebal itu ada baiknya kerana sebagai sebuah organisasi yang besar garis panduan adalah perlu untuk memacu organisasi berdaya lebih kehadapan.

Jika kita perkatakan berkaitan semua pekeliling tersebut sampai bila-bila pun tidak akan habis.  Namun yang saya ingin ringkaskan adalah berkaitan cuti.  Samada ianya Cuti Rehat, Cuti Rehat Khas (bagi guru yang mengajar di sekolah) mahupun Cuti Sakit.

Ketika mula-mula saya masuk kerajaan, Ketua Pembantu Tadbir saya di Institut Aminuddin Baki pernah mengatakan bahawa Cuti adalah kelayakan / kemudahan dan ianya bukan hak.  Hak kita sebagai penjawat awam katanya hanyalah Gaji pokok dan Letak Jawatan.  Itu sahaja hak kita sebagai penjawat awam.  Sebab itu kelulusan permohonan cuti adalah atas budi bicara Ketua jabatan selagi tidak mengganggu tugas maka cuti boleh diluluskan.

Sebab itu walaupun ketika bercuti, kita sebenarnya boleh dipanggil bekerja bila-bila masa sahaja dan sebagai penjawat awam kita harus memastikan bahawa kita sentiasa dapat dihubungi oleh sesiapa walaupun ketika bercuti.  Sekiranya Ketua Jabatan memerlukan kita ketika itu, maka kita harus menghadirkan diri dan membatalkan cuti pada hari tersebut.  Mungkin sesetengah individu akan mempertikaikan kenyataan saya ini namun itulah hakikatnya.

Kalau kita melihat kembali kenapa perkara ini terjadi, mungkin ada yang mengatakan bahawa bila kita bercuti, orang lain tidak boleh mengganggu kita terutama jika panggilan itu datangnya dari Stesen Bertugas kita.  Ini salah.  Cuba kita melihat balik, setiap penjawat awam yang telah dilantik tetap akan dibayar gaji serta elaun secara bulanan.  Sabtu, Ahad serta hari kelepasan am juga tetap dibayar penuh tanpa ditolak.  Begitu juga pada hari cuti, sebenarnya pada hari cuti tersebut kita juga dibayar sebenarnya sebab itu kita sebenarnya masih tertakluk pada kerajaan walaupun kita masih bercuti.

Saya suka mengambil contoh guru kerana bidang kerja saya adalah sentiasa berhadapan dengan guru.  Ketika cuti penggal persekolahan, terutama dihujung tahun, guru juga bercuti selama sebulan lebih dan tetap dibayar gaji pada bulan tersebut.  Ini bermakna guru itu sendiri sebenarnya masih terikat dengan kerajaan pada ketika waktu cuti dan disebabkan itulah mereka dibayar gaji.

Tetapi apa yang dikesalkan oleh saya, ada diantara mereka ini apabila bercuti, terus memutuskan hubungan dengan stesen bertugas, apabila dihubungi maka tidak dijawab sedangkan disekolah terdapat perkara yang mungkin kecemasan.  Kumpulan pelaksana termasuk juga saya pun berperangai seperti itu.  Ini tidak betul.  Sepatutnya Pengetua sebagai Ketua Jabatan harus menguatkuasakan undang-undang yang melarang pegawai bawahannya dari tidak menjawab panggilan dari pihak sekolah apabila dihubungi.

Suka saya membuat perbandingan yang baik diantara sekolah dan Institut Aminuddin Baki.  Pengarah IAB pada ketika itu telah menguatkuasakan undang-undang yang melarang setiap pegawainya mematikan telefon bimbit dengan erti kata lain telefon bimbit hendaklah sentiasa dihidupkan agar dapat dihubungi.  Sekiranya tidak menjawab panggilan maka pegawai itu boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut Kelakuan dan Peraturan Pegawai Awam Tahun 1993.  Ini boleh disabitkan tatatertib kerana tindakan mereka ini telah membelakangkan tugas dan ingkar perintah.  Sewajarnya Pengetua juga perlu menguatkuasakan peraturan seperti ini agar tidak berulang lagi kes dimana guru yang tidak menjawab panggilan ketika bercuti sedangkan disekolah memerlukan khidmat mereka.

Akhir kalam saya mengharapkan agar perkara-perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi dan satu tindakan yang lebih tegas dapat diambil bagi membendung gejala ini dari terus berterusan.

Sekian, terima kasih.

12.01 pagi.