Pages - Menu

Rabu, 22 Februari 2012

Isu Penjaga

Semalam saya telah mengedit sebuah surat amaran kepada penjaga sekolah ini yang mana telah melakukan masalah disiplin.  Surat dipos semalam juga untuk memanggil penjaga bagi berbincang bersama tuan pengetua terhadap masalah yang berbangkit ini.  Secara jelas telah dinyatakan bahawa perjumpaan tersebut adalah seperti ketetapan yang berikut:

      Tarikh:    24 Februari 2012 (Jumaat)
      Masa:      9.00 pagi
      Tempat:   Pejabat SMK ..............................

Hari ini, di waktu pagi kumpulan pelajar yang telah melakukan kesalahan itu telah menulis sebuah surat rayuan kepada GPK Pentadbiran bagi menyelesaikan isu tersebut tanpa memanggil penjaga.  Namun perkara itu sudah terlewat kerana surat telah pun dipos pada hari semalam.

Hari ini, selepas waktu rehat tengahari tamat sekitar jam 2.10 petang, seorang bapa pelajar yang terlibat telah hadir lebih awal dari waktu yang ditetapkan.  Kebetulan ketika itu pengetua masih belum masuk maka saya menjemput penjaga tersebut duduk dahulu sementara menunngu pengetua masuk tapi nampaknya seakan-akan penjaga ini tidak sabar-sabar menemui pengetua.

Penjaga tersebut kemudian keluar pejabat menemui anaknya dan kumpulan anaknya yang bermasalah itu.  Sangkaan saya adalah penjaga ini akan memarahi anaknya.  Namun sangkaan saya jauh meleset.  Pada mulanya berjumpa dengan anaknya, kelihatan anaknya menangis kerana tidak menyangka surat telah sampai ke tangan penjaganya.  Tetapi apa yang malang adalah apabila penjaga ini telah menyalahkan pihak sekolah dengan mendakwa bahawa pihak sekolah sengaja memperbesarkan isu yang kecil.  Beliau juga menyokong tindakan anaknya dan kumpulan anaknya yang telah menunjukkan isyarat lucah di dalam laman sesawang Muka Buku.  Ini akan mencerminkan imej sekolah yang songsang kerana kumpulan ini memuat naik gambar tersebut ke dalam kumpulan sekolah ini.  Penjaga ini juga cuba pertahankan tindakan anaknya ini seolah-olah betul dengan mendakwa mereka menangkap gambar tidak senonoh itu dalam rumahnya.(ini membawa maksud dibawah pengawasannya)

Anaknya yang pada mulanya menangis, justeru mendengar dan melihat sikap bapanya itu mula tersenyum.  Sungguh menyirap darah saya ketika itu melihat kejengkelan mereka ini semua.

Selama ini saya hanyalah mendengar dari mulut ke mulut dan dari akhbar tentang masalah sebegini namun pada hari ini saya melihat sendiri bagaimana sikap seorang bapa yang boleh saya katakan amat BODOH cuba menegakkan benang yang basah dengan menyokong kemungkaran dan cuba menyalahkan pihak sekolah apabila pihak sekolah cuba mengajar pelajarnya yang masih berada di tingkatan 2.

Kalau beginilah sikap seorang bapa yang berfikiran ORTODOK saya mencadangkan sangat-sangat kepada beliau supaya membawa anak beliau ke Hutan Gunung Tahan dan belajar bersama harimau dan kera.  Kalau mengkritik tapi ada fakta dan mempunyai input yang boleh diketengahkan untuk dibincang saya menyokong namun kalau ditengok gaya penjaga ini jelas menunjukkan tahap pemikiran orang KAMPUNG yang LEMAH dan BIOL otaknya.  Jika masalah ini memang bukan salah anak beliau, saya masih boleh menerima kritikan BODOH tersebut tapi bila gambar tersebut yang telah dicetak oleh pihak sekolah sebagai bukti, saya menempelak dan memandang hina penjaga tersebut kerana datang hanya bercakap kosong dan cuba membuat huru hara.

Dari rakan-rakan, ramai mengatakan bahawa penjaga ini SEWEL sikit kerana sebelum ini beliau juga pernah datang membawa parang ke sekolah untuk menetak GPK HEM pada ketika itu.  Beliau juga adalah batu api kepada penjaga-penjaga lain bilamana isu yang kecil cuba diperbesarkan sehingga dibawa ke PPD.
Lucunya penjaga ini bagi saya adalah beliau cuba memperbesarkan sesuatu isu namun isu tersebut adalah tidak relevan sama sekali tanpa mempunyai fakta yang kukuh.

Akhir kalam saya berdoa kepada Allah supaya memelihara saya dan melindungi saya dari sebarang malapetaka dan dijauhi sikap seperti penjaga ini jika saya bergelar seorang ayah kelak.

Insyaallah.

Sekian.

11.07 malam

Isnin, 6 Februari 2012

PAS

Hampir 1200 orang hadirin memenuhi Dewan Tun Razak Temerloh bagi mendengar Bicara Ummah pada 6/2/2012 yang disampaikan oleh Dato' Dr. Hassan bin Hj. Ali.  Jika dibandingkan dengan ceramah-ceramah penerangan Pakatan Rakyat semenjak dua menjak ini, kehadiran di dewan ini boleh dikategorikan sebagai amat memberangsangkan.  Walaupun pimpinan dan Unit Penyelidikan Pas Pusat yang telah melakukan survey umum menyatakan bahawa Pas tidak terkesan dengan pemecatan Dr. Hassan, namun dalam beberapa Road Show penerangan oleh Dr. Hassan ini sejak kebelakangan ini menampakkan satu riak-riak yang mungkin akan menjadi tsunami dalam landskap politik negara.  Pas harus memberi perhatian terhadap perkara ini dan tidak hanya syok sendiri dengan dakwaan kononnya masih mendapat sokongan ahli akar umbi.

Pas harus sedar bahawa Pas hari ini adalah bukan seperti Pas sebelum PRU12.  Ketika Pas berada didalam Barisan Alternatif, Pas sudah mempunyai pengalaman dimana pada ketika itu DAP telah kalah teruk lalu menyalahkan kerjasama dengan Pas yang membuatkan mereka kehilangan banyak kerusi.  Maka Barisan Alternatif dibubarkan dan Pas berjuang berseorangan walaupun masih berkawan dengan DAP dan dengan kerjasama yang tidak terikat dimana setiap parti telah mencapai kata sepakat untuk membahagikan kawasan pilihanraya dengan meletakkan satu lawan satu dengan Barisan Nasional maka formula ini telah berjaya menafikan majoriti 2/3 parti pemerintah di Parlimen pada PRU12 8 Mac 2008.

Setelah itu melihatkan sokongan rakyat yang telah mula beralih arah kepada pembangkang maka Pakatan Rakyat telah ditubuhkan walaupun sehingga kini masih belum diluluskan oleh ROS.  Walaupun banyak lagi faktor-faktor lain yang menyebabkan BN tumbang namun kita masih tidak dapat menafikan sokongan rakyat yang mahu melihat perubahan kerana terlalu marah dengan sikap Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terlalu tunduk kepada menantunya selain kenaikan harga minyak yang terlampau tinggi.

Walaupun pakatan ini dari persepsi politiknya adalah berjaya dan dapat menguntungkan rakyat namun disebalik pakatan ini juga terdapat banyak perkara yang mungkin rakyat luar seperti saya ini tidak berpuas hati.  Sudah banyak ahli-ahli di dalam Pas sendiri yang mula merungut kerana Pas kini terlalu tunduk kepada arahan DAP dan PKR dalam banyak isu sensitif.  Pimpinan Pas menafikan namun keputusan sesuatu isu itu akan dapat dilihat dan dinilai oleh rakyat dan ahli Pas khususnya.

Saya juga pada asalnya telah menanamkan dalam diri saya bahawa semua tindakan Pas adalah demi menjaga hubungan dengan rakan-rakan didalam Pakatan dan demi keberlangsungan politik Pas itu sendiri namun setelah satu demi satu isu yang melibatkan agama dan kaum mula diusik dan keputusannya seolah-olah telah ditulis oleh parti lain dalam Pakatan maka saya sendiri tertanya-tanya adakah benar dakwaan parti pemerintah bahawa Pas kuda tunggangan DAP?

Contoh yang dapat saya berikan adalah dimana NGO Perkasa yang telah (sengaja atau tidak?) memberikan angpow berwarna putih kepada masyarakat Cina telah ditentang hebat oleh masyarakat Cina yang mendakwa Perkasa tidak sensitif terhadap pantang larang masyarakat Cina dimana menurut kepercayaan mereka putih membawa maksud kematian.

Contoh lagi adalah bagaimana didalam ceramah-ceramah Pakatan ada pemimpin bukan Islam yang cuba menghuraikan hal berkaitan Hudud yang bagi saya tidak sepatutnya disentuh langsung oleh mereka walaupun atas kapasiti sebagai rakan dalam Pakatan.  Yang menyedihkan adalah majoriti hadirin yang hadir berbangsa Melayu menyokong tindakan itu.  Walaupun mereka memburukkan parti pemerintah namun yang telah menolak hudud ini namun pada saya tidak kena jika yang mengucapkannya itu adalah bukan Islam.  Saya bukanlah hendak rasis namun bagi saya orang Islam telah banyak berkompromi terhadap isu agama ini.  Kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden MCA yang mencerca Hudud itu tersangatlah mengguris hati saya.  Walaupun MCA adalah komponen BN namun atas kapasiti Islam kita tidak mahu menolak salah kepada sesiapa.  UMNO yang merupakan ketua dalam BN juga harus menegur secara keras terhadap kenyataan Presiden MCA itu.

Dalam ceramah penerangan Pakatan Rakyat di Markas Pas Sg. Gau, Temerloh pada 1/2/2012 yang membariskan penceramah berkaliber iaitu Nik Nazmi, Tony Pua dan Dr. Dzulkifely secara terangan Tony Pua telah mempertikaikan bagaimana kerajaan telah mengayakan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dengan memberikan hakmilik pengedar tunggal dalam BERNAS dan beberapa projek lagi.  Memang secara prinsipnya ini tidak adil namun dia harus sedar bahawa mereka yang terkaya di malaysia dan yang telah memonopoli ekonomi dan pasaran barangan adalah kaum dia sendiri.  Beras adalah makanan ruji rakyat Malaysia yang mana bangsa Melayu adalah 65% berbanding kaum lain.  Mungkin beliau mempunyai agenda untuk membuka peluang kepada kaum beliau memonopoli industri beras.  Bagi saya apalah salahnya jika sedikit keuntungan ini diberikan pula kepada kaum bumiputera kerana bidang-bidang lain dan ekonomi kini sudah pun dimonopoli oleh kaum beliau.


Pas sebenarnya boleh berjuang berseorangan tetapi Pas telah memilih untuk berkompromi dengan parti lain untuk meneruskan agenda rakyat.  Tidak salah sebenarnya berkompromi tetapi Pas perlulah lebih tegap dengan pendirian Islamnya dan parti yang lain juga harus tahu sempadan hak bersuara dan membuat keputusan sebagai rakan dalam Pakatan.  Jika mereka tidak suka mereka diganggu rumah tangga politik mereka begitu juga Pas.  Mereka tidak boleh melihat Pas hanya sebagai parti tempelan kerana walaupun Pas mempunyai kerusi yang minoriti namun sebagai rakan yang telah sudi berkompromi demi rakyat, Pas haruslah diberi penghormatan.


Akhir kalam saya memohon kemaafan jika entri saya ini ada menyinggung sesiapa.  Entri ini hanyalah  pendapat peribadi saya sebagai seorang yang mencintai negara ini amnya..

Insyaallah..

Sekian.

10.46 malam

Ahad, 5 Februari 2012

Antara karyawan dan ahli sukan

Sumber dari Mingguan Malaysia 5/2/2012

TIDAK ada negara yang begitu menghargai ahli sukan seperti negara kita. Negara lain yang sukan mereka jauh lebih hebat pun tak seperti negara kita yang limpahkan itu dan ini kepada ahli sukan.
Kononnya ahli sukan telah “mengharumkan” nama negara. Kononnya ahli sukan kita telah “mencatat” nama negara di peta dunia.
Alasan ini diberikan oleh orang yang malas. Mereka malas berfikir dan malas terima kenyataan. Di negara kita, penjaga gol Khairul Fahmi dapat sebuah banglo. Di negara kita, ahli sukan dapat ganjaran berganda, menang di pertandingan lagi, kerajaan bagi lagi.
Negara lain bangunkan prasarana sukan sebagai cara menghargai sukan. Tapi kita longgokkan duit kepada ahli sukan. Kita terkepung dalam ruang fikir sempit kononnya inilah cermin kejayaan bangsa dan negara. Ini mengarut namanya.
Eh, betulkah ahli sukan “mengharumkan” nama negara? Mana ada, semua itu temberang saja. Cuba bagi satu contoh ahli sukan di dunia yang “mengharumkan” nama negaranya? Kita yang syok sendiri saja yang kata begitu.
Boleh tak Siti tanya sikit. Betulkah bintang bola sepak dunia Pele, Maradona, Ronaldo dan banyak lagilah dalam sukan lain pun yang “mengharumkan” nama negara mereka? Sebenarnya yang mengharumkan nama negara dan menyebarluas pemikiran bangsa adalah karyawan. Tidak kiralah sasterawan, pelukis atau dramawan. Pemikiran karyawan mewakili bangsa dan negaranya. Penyair Victor Hugo dan pelukis Van Gogh misalnya turut mengangkat nama Perancis walaupun Van Gogh bukan dilahirkan di Perancis.
Agak-agaknya apakah yang disumbangkan Maradona kepada bangsa dan negaranya seperti Van Gogh kepada Perancis? Mereka minat sukan, mereka gila sukan. Tapi mereka terima kenyataan bahawa yang menyumbang kepada bangsa dan negara adalah karyawan. Sebabnya karyawan itu adalah cermin kepada tamadun bangsa.
Tapi bagi kita lain pula, pemain badminton atau bola sepak mengambil tempat karyawan. Ahli sukan dapat penghargaan berjuta ringgit. Tak kisahlah kalau pemurah sangat. Tapi ini menunjukkan kita tak tahu menilai. Sasterawan kita yang karya mereka ke seluruh dunia tidak mendapat ganjaran sama. Bukan tidak boleh menghargai ahli sukan, tapi berpada-padalah dan adil kepada yang lain. Banyak sasterawan kita yang pemikiran mereka menjelajah seluruh dunia dianggap lebih rendah daripada penjaga gol atau pemain badminton.
Kita berbangga tak kena tempat. Kita tak tahu bahawa sukan adalah produk konsumerisme. Sukan tempat kapitalis kaut kekayaan. Sukan tidak ada kena mengena dengan tamadun bangsa. Sukan itu duit. Dulu Maradona atau Tiger Wood dijulang, esok atau lusa mereka dilupakan. Mereka tak tinggal apa-apa pun kecuali kekayaan peribadi.
Tapi karyawan seperti Shakespeare, Albert Camus, Van Gogh misalnya sentiasa hidup dalam bangsa yang tahu menilainya. Di negara kita, banyak sasterawan telah menjelajah benua asing. Usman Awang, A. Samad Said, Arenawati, Anwar Ridhuan sudah lama mengharumkan nama bangsa dan negara. Pelukis kita Latiff Mohidin, Ibrahim Hussein, Raja Azhar Idris sudah lama mengharumkan nama negara apabila mengemukakan karya tentang negara dan bangsanya. Siapa peduli?
Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan dana RM5 juta untuk Persatuan Penulis Nasional (PENA) menerbit buku. RM1 juta lagi untuk membaiki Rumah PENA yang uzur. Tapi Siti fikir ada pihak yang tidak dapat baca mesej Perdana Menteri supaya hargai sasterawan. Balik-balik mereka hanya lihat ahli sukan. Terimalah kenyataan, rakyat Argentina pun tidak pernah bangga dengan Maradona. Sebabnya Maradona tidak menyumbang apa-apa kepada Argentina seperti sumbangan Shakespeare kepada England. Mesti banyak yang tak setuju tapi Siti peduli apa.
SITI JARUM: Dah fed up.

Facebook bernilai RM300 bilion

Sumber dari Mingguan Malaysia 5/2/2012

Oleh: Johardy Ibrahim

TIDAK pasti bagaimana anda rasa mengenai penggunaan Facebook sejak perubahan dibuat, saya secara peribadi merasakan perubahan (misalnya Timeline) telah ‘membina jurang’.
Pada paparan dinding akaun anda, ia hanya menunjukkan rakan-rakan yang kerap berhubungan atau mengepos pernyataan yang sama tajuk.
Jadi sekiranya anda lebih 1,000 rakan, kadar kebarangkalian untuk 30 peratus daripada mereka terlepas pandang kepada pernyataan kita adalah tinggi. Atas sebab itu, bilangan yang menekan like dan memberi reaksi, kelihatan menyusut berbanding tahun lalu. Apa erti mengepos pernyataan jika tidak dibaca oleh rakan-rakan?
Namun apa pun rungutan kita, Facebook memiliki alasan khusus membuat perubahan seumpamanya. Perubahan yang dibuat ini adalah antara senarai utama kritikan terhadap Facebook.
Cuma tidak pasti apakah ia meliputi pengguna Facebook di Malaysia yang diiktiraf sebagai antara ‘rakan paling mesra’ di dunia kerana memiliki minimum 200 rakan dalam akaun Facebook dan ini termasuk pelajar sekolah menengah yang add semua kenalan sekelasnya, guru kelas yang disenangi, sepupu jauh dan dekat, kawan kepada rakan sekelas dan anak guru kelas yang disenangi.
Golongan pelajar ini akan membina persahabatan Facebook dengan semua orang terutama artis, guru agama televisyen, seniman lapuk dan ahli politik tetapi berusaha sedaya-upaya mengelak untuk memasukkan ibu bapa mereka sendiri.
Begitu meluasnya pengaruh Facebook dalam kehidupan harian kita sehinggakan sesiapa yang tidak memiliki akaun atau aktif di dalamnya, dianggap serpihan dari era mesin taip. Kita tahu Facebook adalah suatu fenomena dan jentera revolusi kaedah kita berkomunikasi pada abad ke-21 ini. Kita tahu ia adalah besar tapi tidak pasti berapa besar.
Selama lapan tahun sejak penubuhannya, pada Rabu lalu Facebook menerbitkan prospektus kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat bagi tujuan penyenaraiannya di bursa saham. Selain menyerlahkan banyak rahsia dan maklumat di belakang tabir yang hanya menjadi bahan spekulasi kita selama ini, langkah penyenaraian itu juga kaedah Facebook untuk meraih untung daripada maklumat peribadi kita yang diposkan dalam Facebook setiap hari.
Menurut prospektus tersebut yang anda boleh baca di http://www.sec.gov/Archives/edgar/data/1326801/000119312512034517/d287954ds1.htm, Facebook mahu meraih AS$5 bilion (kira-kira RM15 bilion) dalam tawaran permulaan awam (IPO) yang disifatkan oleh pemerhati sebagai jumlah terbesar untuk sebuah syarikat Internet sejak Google disenaraikan pada 2004. Nilai IPO itu juga bakal meletakkan nilai rangkaian sosial itu setinggi AS$75 bilion hingga AS$100 bilion (RM225 bilion hingga RM300 bilion).
Gambaran wajah Facebook yang boleh ditafsir dari dokumen setebal 150 muka kepada suruhanjaya tersebut dianggap wajah sebuah syarikat yang matang, sekurang-kurangnya pada standard Lembah Silikon. Facebook sudah menikmati pulangan keuntungan yang besar, hasil daripada pengguna Facebook yang kini berjumlah 845 juta akaun, dengan separuh daripadanya atau 483 juta mengepos pernyataan setiap hari.
Pengguna Facebook (kita semualah!) telah berkongsi lebih daripada 100 petabytes (100 quadrillion bytes) gambar dan video dalam Facebook, menghasilkan 2.7 bilion like dan komentar sehari dalam tiga bulan terakhir 2011.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg menerima gaji asas sebanyak AS$500,000 (RM1.5 juta) tahun lalu, lebih tiga kali ganda berbanding gaji yang diterima oleh pengasas bersama Google Larry Page dan Sergey Brin semasa Google memfailkan IPO.

Keistimewaan
Memegang jawatan tertinggi dalam Facebook memberi keistimewaan tertentu untuk Zuckerberg. Menurut dokumen Facebook, firma itu juga membenarkan CEO dan COO menggunakan pesawat persendirian bagi tujuan-tujuan rasmi.
‘‘Encik Zuckerberg boleh menggunakan pesawat persendirian bagi tujuan peribadi berkaitan dengan program keselamatannya yang menyeluruh. Pada masa tertentu, Encik Zuckerberg mungkin ditemani ahli keluarga atau lain-lain apabila menggunakan pesawat persendirian.”
Menerusi penyenaraian itu kelak, Zuckerberg memegang 28 peratus ekuiti dalam Facebook, yang mungkin bernilai AS$28 bilion (RM84 bilion) dan CEO berusia 27 tahun itu merancang untuk mengambil gaji hanya AS$1 setahun bermula 2013, sama seperti ikon Apple, mendiang Steve Jobs semasa menerajui Apple.
Facebook juga kelihatan cukup mantap berbanding firma lain di Lembah Silikon semasa hendak disenaraikan. Menurut prospektus itu lagi, Facebook telah mencatat keuntungan sejak tiga tahun lalu. Ia melaporkan perolehan sebanyak AS$3.7 (RM11.1) bilion tahun lalu, iaitu kenaikan sebanyak 88 peratus berbanding 2010, dan meraih keuntungan sebanyak AS$1 (RM3) bilion. Ia melebihi pulangan keseluruhan Google tahun ia disenaraikan.
Perolehan Facebook juga mengatasi firma-firma Internet lain yang baru disenaraikan, misalnya Zynga mencatat AS$90.6 juta pada 2010 dan LinkedIn baru hendak mencatat keuntungan tatkala Pandora masih jauh ketinggalan.
Pengiklanan mewakili 85 peratus hasil kepada Facebook, menurun daripada 98 peratus pada 2009. Zynga sahaja merupakan 12 peratus kepada hasil keseluruhan Facebook kerana syarikat permainan dalam talian itu harus membayar royalti bagi setiap pembelian dalam Facebook.
Langkah Zuckerberg menyenaraikan Facebook di bursa saham ini tidak dapat lari daripada kritikan. Antara isu yang disebut lantang ialah pemegangan ekuiti majoriti beliau selepas IPO, bermakna Zuckerberg tidak perlu menjawab soalan kepada ahli lembaga pengarah bebas, sebagaimana kelaziman CEO di syarikat tersenarai lain.
Bila ini berlaku, seluruh proses IPO menjadi tanda-tanya. Mengapa timbulkan kehebohan jika Facebook tidak pernah berhasrat membenarkan pemegang saham awam bersuara dalam syarikat? Mengapa memanggil bank melabur ke dalam syarikat hanya untuk sakit hati kemudian hari, bila mereka mendesak untuk keuntungan yang lebih lagi?
Rupa-rupanya, rangkaian sosial yang kita jengah setiap hari, komen dan poskan gambar kita, adalah sebuah entiti yang bakal menjadi sangat kaya hasil daripada persinggahan kita setiap hari di Facebook.
Harap anda sekalian gunakanlah Facebook dengan sebaik mungkin, bukan jadi alat sebarkan api kebencian politik atau fitnah. Mereka yang berterusan berbuat demikian, harus dipadamkan daripada senarai rakan hari ini juga.