Pages - Menu

Sabtu, 9 Mei 2015

MENANG ATAU KALAH, PENGUNDI DIUTAMAKAN

Tahniah diucapkan kepada calon yang telah memenangi Pilihanraya Kecil bagi kawasan Rompin dan Permatang Pauh.  Kini perang pilihanraya telah selesai.  Diharapkan penduduk setempat dapat mengembalikan ukhwah.  Berbeza pendapat dan ideologi tidak salah namun jangan diikutkan emosi yang melampau terhadap ideologi.

Dua kawasan kubu kuat yang semestinya keputusan sudah dijangka.  Kedua-dua prti yang bertanding ada kekuatan dan kelemahan masing-masing.  Peratus keluar mengundi yang merosot yang mungkin pengundi yang tinggal diluar juga mungkin menjadi salah satu penyebab kejatuhan majoriti di kedua kawasan.

Sebagai orang awam, apa yang dilihat hanyalah keputusan undi secara dasar.  Angka yang keluar itulah yang dilihat.  Walaupun sedikit mana pun undi majoriti ianya tetap memberi kemenangan.  Cuma dari sudut pandang orang politik, mereka perlu membuat post morterm bagi setiap undi di saluran upu.  Ini penting untuk persediaan menghadapi pilihanraya seterusnya.

Rompin sememangnya menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).  Kekuatan ini telah diterjemahkan oleh pengundi disitu dengan menangnya Allahyarham Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis selama 4 penggal dari 1990-2015.  Pembangkang agak sukar untuk menembusi kawasan tersebut.  Dengan kawasan yang dikelilingi oleh Felda, saya tidak menaruh harapan untuk PAS menang dikawasan itu.

Felda yang terkenal dengan warganya yang taksub kepada  BN semestinya sangat bergantung harap serta berterima kasih kepada kerajaan kerana telah menyediakan bantuan serta tanah kepada mereka.  Di Rompin, saya melihat bahawa kecenderungan pengundi bukanlah kepada calon tetapi kepada parti.  Maksud saya jika BN meletakkan siapa sekali calon, pasti kemenangan akan diraih.

Permatang Pauh pula sememangnya terkenal dengan kubu kuat Legasi Datuk Seri Anwar Ibrahim.  Kenapa bukan PKR?  Kerana jika dilihat sejarah kemenangan kerusi tersebut, kita dapat melihat kubu tersebut bertahan serta bertukar kerana individu bukan parti.  Mungkin sentimen individu tersebut yang berasal dari kawasan tersebut mendorong semangat pengundi untuk mempertahankan tokoh nasional/antarabangsa yang berasal dari situ.


Tahun Ahli Parlimen Parti Lawan Parti Majoriti
1969 Mohd Nor Bakar Perikatan Perikatan Musa Mohd Yatim Parti Islam Se-Malaysia PAS -
1974 Ariffin Md Daud Barisan Nasional BN-UMNO Abu Bakar Murni, Baharuddin Ibrahim Pekemas Pekemas, PSRM PSRM -
1978 Zabidi Ali Parti Islam Se-Malaysia PAS Ariffin Md Daud Barisan Nasional BN-UMNO -
1982 Datuk Seri Anwar Ibrahim Barisan Nasional BN-UMNO Zabidi Ali Parti Islam Se-Malaysia PAS 14,352
1986 Datuk Seri Anwar Ibrahim Barisan Nasional BN-UMNO Mohamad Sabu Parti Islam Se-Malaysia PAS 10,479
1990 Datuk Seri Anwar Ibrahim Barisan Nasional BN-UMNO Mahfuz Omar Parti Islam Se-Malaysia PAS 16,150
1995 Datuk Seri Anwar Ibrahim Barisan Nasional BN-UMNO Abdul Rahman Manap DAPDAP 23,515
1999 Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail PKR PKR Dato' Dr Ibrahim Saad Barisan Nasional BN-UMNO 9,077
2004 Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail PKR PKR Dato' Pirdaus Ismail Barisan Nasional BN-UMNO 590
2008 Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail PKR PKR Dato' Pirdaus Ismail Barisan Nasional BN-UMNO 13,388
2008(k) Datuk Seri Anwar Ibrahim PKR PKR Dato' Arif Shah Omar Shah, Hanafi Mamat Barisan Nasional BN-UMNO, Angkatan Keadilan Insan Malaysia AKIM 15,671


Kecenderungan pengundi kawasan ini terhadap parti berubah mengikut calon berkenaan.  Pemuda Pas kawasan tersebut pernah menyuarakan pandangan/permintaan untuk meletakkan calon mereka di kerusi tersebut disebabkan majoriti kemenangan di dun Permatang Pasir yang disandang oleh PAS melebihi majoriti di dua kawasan dun yang terletak dalam Parlimen yang sama yang dimenangi oleh PKR.

Saya bersetuju dengan dakwaan bahawa pengaruh PAS di kawasan tersebut adalah kuat.  Ini terbukti apabila PAS dapat mengekalkan begitu lama kerusi dun Permatang Pasir ini walaupun disaat pembangkang tidak kuat pada PRU tahun 2004.

Saya juga bersetuju yang mana aura DSAI juga sebenarnya kuat dan sudah sebati dengan kerusi Parlimen tersebut.  Jika dilihat pada gambarajah di atas, PAS hanya pernah menang dikerusi ini hanya sekali.  Seandainya benar dakwaan pemuda tersebut bahawa pengaruh PAS sangat kuat situ, kenapa PAS tidak berjaya merampas kerusi tersebut ketika DSAI dalam BN.  Waima dengan jaguh dari PAS dipertandingkan dikawasan itu, masih tidak mampu merampas kerusi tersebut.

Seharusnya pemuda menghormati semangat kesepakatan yang telah dipersetujui Pakatan.  Namun saya tidak menolak pandangan-pandangan mereka, cuma saya merasakan agak kurang sesuai ketika suasana PRK ingin diadakan, desakan-desakan dalaman timbul.  Ini mungkin boleh menimbulkan polemik dalaman seterusnya mempengaruhi undi.

Saya suka melihat pertembungan PRK di Teluk Intan sebenarnya.  Seperti di Rompin dan Permatang Pauh, kita sudah dapat mengjangka keputusannya kerana sudah terang kerusi ini memang sudah berpenggal dikuasai.  Sebaliknya di Teluk Intan kita dapat lihat kekuasaan terhadap kerusi itu sentiasa berubah.  Inilah yang memberikan satu suasana yang mencemaskan serta tidak sabar untuk menunggu keputusan pengundian.

Pengundi Cina yang merupakan majoriti di kawasan ini telah membuktikan dan menunjukkan kepada pengundi bangsa lain bahawa dalam negara yang mengamalkan demokrasi, kuasa sebenarnya di tangan pengundi.  Mesejnya ialah wakil rakyat yang dipilih janganlah angkuh serta merasakan selesa kerana bila-bila masa sahaja kedudukan mereka boleh terancam dengan kuasa pengundi.

Malangnya pengundi lain masih tidak sedar dan masih memberi kedudukan yang selesa kepada wakil rakyat masing-masing dan dengan kemenangan yang berpenggal-penggal ini akan menjadikan wakil rakyat menjadi angkuh serta mengabaikan pengundi.  Hanya melawat pengundi ketika musim pilihanraya.

Secara peribadi saya sangat berharap agar saya dapat melihat satu fenomena dimana pengundi semua kaum berfikiran sedikit kehadapan dan menghapuskan fahaman ortodok.  Saya sangat mengharapkan supaya pengundi berfikir sebelum mengundi bukan berfikir selepas mengundi.

Akhir kata saya berharap kedua wakil rakyat yang baharu dipilih ini akan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan menjaga kepentingan pengundi dengan baik.