Pages - Menu

Isnin, 16 Mac 2015

BENARKAN PERTANDINGAN, JANGAN DIHALANG

Baru-baru ini seorang rakan dalam kumpulan whats app telah meminta komen tentang laporan Malaysiakini berkaitan komen yang pedas oleh peguam Pas iaitu Hanipa maidin dalam sebuah forum yang dianjurkan oleh Malaysiakini.  Saya telah memberikan respon terhadap permintaan rakan saya itu dengan pandangan saya menyokong apa yang diperkatakan oleh saudara Hanipa Maidin ini.  


Dalam tulisan yang bertajuk 'Ampu, tak boleh ditegur menular dalam Pas' itu, saudara Hanipa Maidin telah mengulas berkaitan pemimpin-pemimpin Pas tidak boleh ditegur.  Permasalahan dalam pemilihan presiden juga diulas oleh beliau dengan mengatakan bahawa terdapat ustaz-ustaz didalam Pas tidak boleh menerima apabila Presiden ditegur.  Saya sangat menyetujui dengan apa yang diperkatakan oleh saudara Hanipa Maidin ini kerana dari apa yang saya lihat sememangnya budaya tersebut memang terjadi dalam Pas kini.


Kenyataan yang dikeluarkan oleh saudara Hanipa ini mungkin berkisar tentang kenyataan terbaharu yang dikeluarkan oleh Naib Presiden Pas, Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man.  Dalam kenyataan tersebut Dato' telah menolak pencalonan dari Kawasan Kota Bharu yang telah mencalonnya bagi bertanding jawatan no 1 dalam parti.  Dengan rendah diri Dato' telah menolak kerana menurutnya semenjak era kepimpinan ulamak jawatan no 1 tersebut tidak pernah ditandingi.  Beliau juga bimbang seandainya jawatan no 1 tersebut ditandingi maka akan memberi satu persepsi yang tidak baik terhadap parti dan presiden.  Selain itu, keutuhan parti juga mungkin akan terganggu dan beliau telah menyeru agar sebolehnya semua ahli bersatu di bawah kepimpinan presiden sekarang.


Sebagai seorang ahli, saya kurang menyetujui kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato' ini.  Seperti yang diperkatakan oleh saudara Hanipa bahawa Pas mempunyai perlembagaan sendiri.  Dalam perlembagaan tersebut telah menyatakan bahawa apakah jawatan yang boleh ditandingi.  Maka bila Dato' memeberi kenyataan seperti ini seolah-olah jawatan tersebut telah disekat.  Walaupun tidak disebut secara terus namun ahli-ahli pasti telah mendapat mesej tersebut.

Saya sangat bersetuju dengan saudara Hanipa apabila beliau meminta agar kita menghormati kepada golongan yang telah bersusah payah menyediakan perlembagaan parti ini.  Jika ada jawatan yang cuba disekat ini telah melanggari perlembagaan parti itu sendiri.  Lebih baik perlembagaan parti itu sendiri dibuang.

Pada saya wala' atau patuh terhadap pemimpin ini perlulah bertempat.  Dalam berorganisasi bukan semua yang dikeluarkan atau tindakan yang dilakukan presiden adalah betul.  Presiden boleh ditegur.  Tapi kadangkala orang disekeliling presiden itulah yang terlebih presiden yang menyebabkan seolah-olah presiden yang tidak betul.


Kadangkala saya terfikir, Pas dan Umno hampir sama cuma yang lebihnya Pas lebih dominan terhadap Islam.  Saya nampak apa yang didoktrinkan oleh Umno terhadap ahlinya, begitulah juga Pas.  Umno mengdoktrinkan ahlinya bahawa apa yang dilakukan pembangkang adalah tidak betul.  Pas juga begitu.  Pas juga dalam tidak sedar telah mengdoktrin ahlinya agar apa yang dilakukan oleh kerajaan dan Umno tidak betul.  Sebab itu ahli dan pemimpin Pas tidak boleh ditegur.  Apabila ditegur sahaja mula melenting.


Jika dulu kita ketawakan Umno kerana menyediakan kuota terhadap pencalonan jawatan tertinggi parti.  Manakala kita mendabik dada mengatakan bahawa Pas parti terbuka dan sesiapa jua boleh bertanding.  Benar dari sudut perlembagaan Pas memang itulah yang tertulis namun persoalannya adakah perkara tersebut benar-benar praktikal terhadap situasi terkini.  Apabila kita diseru agar bersatu dibawah payung yang sama automatik ia menafikan perlembagaan parti.


Memang kita harus bersatu tetapi apabila presiden ditegur seperti sekarang ia menunjukkan bahawa terdapat kelemahan pada kepimpinan presiden itu.  Pasti ada sesuatu yang menyebabkan ahli bersuara.  Dan sesuatu itu perlu diperbaiki.  Cara untuk perbaikinya mungkin itulah cara yang cuba disampaikan oleh saudara Hanipa.  Mungkin juga dengan menukar presiden akan lebih mengukuhkan parti.  Menang atau kalah dalam pertandingan biarlah ditentukan oleh ahli.


Dlam Pas menang atau kalah tetap biasa.  Tidak akan ada pun yang akan menjauh hati atau terasa dipinggirkan.  Pertandingan hanya ketika pemilihan.  Ssudah pemilihan semuanya berada dalam saf yang sama.  Tetapi jangan kita halang orang lain untuk bertanding kerana ini akan memberi satu persepsi yang buruk dalam parti.