Subsidi dikurangkan lagi? Ini bermaksud harga petrol juga naik?
Bolehlah dikatakan begitu.. Tapi PM kata dalam sebuah majlis di Pekan, petrol tidak naik, cuma subsidi dikurangkan..lain maknanya tu.
Mungkin cikgu-cikgu matematik boleh tolong berikan tutorial kembali kepada PM. Mungkin PM sudah kelabu angka.
Kalau harga petrol tidak naik mengapa kuantiti meter di pam minyak semakin berkurangan walaupun dibeli pada kadar yang sama.
Dakwaan PM bahawa harga petrol tidak naik adalah songsang. Ini menambahkan lagi kemarahan rakyat. Sudahlah dihidangkan pengurangan subsidi, ditipu hidup-hidup lagi mengatakan harga minyak tidak naik.
Saya tidaklah terlalu marah setelah mendengar perkhabaran kenaikan ini dari Buletin Utama kerana saya telah dapat cuba belajar menyerap impak berita tersebut. Cuma saya menjadi marah apabila mengenangkan impak kenaikan kepada harga barangan lain ekoran pengurangan subsidi ini.
Jika dipandang kebelakang, ini bukanlah tahun pertama kerajaan menaikkan harga petrol. Tahun lepas baharu sahaja kita secara berjemaah melenting marah kepada kerajaan selama sebulan kerana mengurangkan subsidi minyak sebanyak 20 sen.
Bulan Februari tahun ini kita kembali tersengih serta memuji-muja kerana dibayar kerajaan BR1M yang telah dinaikkan amaunnya. Walaupun hanya boleh bertahan selama 3 hari tapi itulah sifat kita yang songsang.
Jika tidak silap, pada tahun 2008, mantan PM Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menaikkan harga petrol sebanyak 78 sen menjadikan harga minyak ketika itu naik kepada RM 2.70.
Akhirnya mantan PM itu digulingkan dan kerajaan pemerintahan PM kini telah menurunkan sedikit demi sedikit harga petrol sehingga turun menjadi RM 1.80 pada tahun 2009. Rakyat gembira dengan perkembangan itu.
Namun kegembiraan rakyat tidak lama, tahun 2010 minyak dinaikkan secara beransur menjadi RM 1.90. Dalam tahun yang sama juga penasihat PEMANDU telah mengeluarkan pendapat agar kerajaan mengurangkan subsidi secara beransur-ansur sebanyak 20 sen setiap tahun bagi mengelakkan negara mengalami kebangkrapan pada masa akan datang.
Bagi mengelakkan kemarahan rakyat, langkah perlindungan awal diperkenalkan yakni Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) pada tahun 2012 dengan menjustifikasikan bahawa bantuan ini adalah untuk golongan bersasar sekaligus mengajar rakyat supaya menerima bantuan bersasar ini seandainya subsidi minyak dihapuskan.
Tetapi rakyat tidak ambil kisah pun ketika itu kerana tiada pengumuman kenaikan minyak pada tahun tersebut. Sebaliknya salam perkenalan pengurangan subsidi ini dipuji-puja sebagai satu tindakan yang bijak.
Setelah rakyat gembira, maka bermulalah siri pengurangan subsidi petrol yang pertama pada tahun 2013. Kerajaan sedar rakyat akan marah untuk sebulan maka dijanjikan kenaikan pemberian BR1M dalam bajet 2014. Masa pengumuman pengurangan subsidi ini juga agak cantik, pada 1 September 2013 yakni sebelum Pembentangan Bajet 2014 pada hujung bulan tersebut. Jika rakyat hendak marah pun tidak akan lama.
Pengurangan subsidi dikurangkan sebanyak 20 sen menjadikan harga petrol pada tahun 2013 sebanyak RM 2.10.
Rakyat marah tapi digulakan dengan BR1M.
Pada tahun 2014, dengan menggunakan modus operandi yang sama iaitu pengumuman pengurangan subsidi dibuat pada 2 Oktober 2014 berhampiran dengan tarikh Pembentangan Bajet 2015 pada 10 Oktober 2014. Juga bagi mengelakkan kemarahan rakyat, BR1M dijanjikan kenaikan dalam Pembentangan Bajet tersebut.
Dengan pengumuman pengurangan subsidi sebanyak 20 sen ini, menjadikan harga jualan terkini petrol adalah pada kadar RM 2.40.
Saya mengjangkakan akan ada 2 - 3 kali bersamaan 2 - 3 tahun lagi pengurangan subsidi minyak ini juga sebanyak 20 sen setiap kali pengurangan berdasarkan pendapat PEMANDU yang mengjangkakan Malaysia akan bangkrap pada tahun 2019 jika subsidi-subsidi tidak diurus dengan baik dan akhirnya harga petrol akan sama sahaja dengan kenaikan minyak yang diumumkan mantan PM Tun Abdullah pada tahun 2008.
Cuma bezanya mantan PM menaikkan secara mendadak yang menyebabkan rakyat terkejut dan terasa sangat kenaikkannya. Manakala PM kini menaikkan secara perlahan-lahan dan dialas dengan pemberian BR1M.
Jangkaan saya pengurangan subsidi ini akan dilakukan secara normal dan konsisten setiap tahun, namun seandainya berlaku keadaan diluar jangkaan atau terdesak maka kerajaan akan mempercepatkan pengurangan ini sekurang-kurangnya setahun 2 kali.
Kembali kepada reaksi rakyat selepas pengumuman pengurangan baru-baru ini, kelihatan dilaman-laman sosial begitu rancak mencaci dan memaki kerajaan. Tetapi macam biasalah marah orang Melayu kemana sangat lah. Bukankah Melayu penuh dengan budi bahasa sebab itu marah Melayu hanyalah marah mengajar bukan marah untuk bergaduh.
Kenalan-kenalan saya juga tidak kurang marahnya pada malam pengumuman namun pada keesokkan harinya saya lihat sudah tidak ada pun perbincangan kenaikan petrol ini. Adakalanya saya cuba juga membuat provokasi mengenai perkara ini tapi seorang pun sudah tidak menyampuknya. Kesimpulan saya dapat ialah marah orang Melayu hanyalah beberapa jam sahaja.
Sikap yang terdapat pada orang Cina sangat saya suka. Kaum ini walaupun nampak seperti tidak mengendahkan politik negara, tetapi sebenarnya menjadi pencetus keputusan dalam pilihanraya. Begitu dalam isu pengurangan subsidi ini.
Yang bercakap dalam televisyen ketika ditanya wartawan semuanya Melayu yang kurang berpuas hati dengan pengurangan subsidi ini. Kalau ada pun orang Cina yang ditanya selalunya memberikan pendapat yang neutral. Sebaliknya ketidakpuasan hati itu diterjemahkan dalam pilihanraya. Mereka akan memilih pemimpin lain yang difikirkan boleh membantu ekonomi negara menjadi lebih baik.
Sebaliknya orang Melayu yang begitu marah kerana pengurangan subsidi, masih tetap mengundi pemerintah yang sama yang mengurangkan subsidi. Inilah perkara yang pelik yang sehingga kini saya masih tidak dapat jawapannya. Saya masih tidak dapat jawapan bagaimanakah corak fikir orang Melayu ini walaupun saya seorang Melayu.
Analoginya, jika kita melalui sebuah jalan kemudian terjatuh ke dalam lubang, pastinya kita akan melalui jalan yang lain pada hari seterusnya. Atau setidak-tidaknya kita akan mengelak dan berhati-hati terhadap lubang tersebut. Tidak ada orang yang normal pemikirannya sudi terjatuh kedalam lubang yang sama untuk kali keduanya.
Tetapi realitinya itulah yang berlaku dalam negara kita ketika ini.
Mengakhiri tulisan ini, saya berharap golongan yang saya nyatakan di atas ini tadi dapatlah membuka minda dan cuba berfikir secara lapang dan neutral impak yang terpaksa orang lain terima akibat kedangkalan pemikiran kita.